Home Utama Covid-19: 1,510 kes baharu, Selangor catat kes tertinggi

Covid-19: 1,510 kes baharu, Selangor catat kes tertinggi

Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Perkembangan penularan Covid-19 di dalam negara pada hari ini menyaksikan sebanyak 1,510 kes baharu direkodkan.

Daripada jumlah itu, lima daripadanya adalah kes import membabitkan seorang rakyat tempatan dan selebihnya warga asing sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan di dalam negara mencecah 359,117 kes secara kumulatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian itu, sebanyak 165 kes merupakan bukan warganegara manakala selebihnya warga tempatan.

Katanya, sebanyak 15,059 kes Covid-19 aktif dilaporkan hari ini.

“Hari ini mengikut pecahan negeri, Selangor masih konsisten melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 415 kes atau 27.5 peratus.

“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 326 kes atau 78.6 peratus adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dilaksanakan di lapangan.

“Selepas Selangor, Sarawak terus menyaksikan kes tiga digit agak meningkat hari ini iaitu 296 kes disusuli Kelantan 171 kes,” katanya.

Malah katanya Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga tiga negeri yang masih merekodkan kes jangkitan tiga angka iaitu masing-masing sebanyak 131, 106 dan 101 kes hari ini.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 34 kes atau 2.3 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Tapah (11 kes), Kluster Depot Imigresen Semuja (enam kes), Kluster Tembok Mempaga (tiga kes), dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa merekodkan satu kes.

Sementara itu, katanya, sebanyak 194 kes pada hari ini memerlukan rawatan Unit Rawatan Rapi manakala 81 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menyentuh mengenai angka kematian, Dr. Noor Hisham menegaskan, terdapat pertambahan sebanyak lapan kes kematian hari ini sekaligus menjadikan jumlah kes kumulatif kematian dalam negara adalah 1,321 kes setakat ini.

Kesemua kes kematian membabitkan warga tempatan iaitu enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 48 tahun hingga 83 tahun.

“Mengikut pecahan kes mati hari ini melibatkan empat kes di Sarawak, tiga di Selangor dan satu kes di Pahang.

“Kesemua kematian direkodkan di Hospital Sungai Buloh, Hospital Sibu, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan Hospital Kapit,” katanya. – MalaysiaGazette