SEBERANG PERAI – Seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbalik di Kilometer 4.6 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai dekat sini semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa, Nur Hasni Azlin Mohd Isa,21, yang memandu MPV jenis Perodua Alza itu dilaporkan hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan mendapati pemandu MPV itu dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala arah Perai.
Katanya, wanita yang berada di lorong tengah itu cuba memotong sebelum bergesel pada bahagian kiri sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu DMax yang berada di lorong kanan.
“Akibat pergeselan itu kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbalik dalam keadaan empat-empat tayarnya ke atas.
“Pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan manakala pemandu wanita itu dibawa keluar dengan bantuan orang awam dan dilaporkan cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Shafee, mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Jambatan Pulau Pinang mengalami kesesakan teruk di kedua-dua arah dekat sini apabila sebuah Perodua Alza dilaporkan terbalik akibat terlibat kemalangan. – MalaysiaGazette