Home Ekonomi MSSB masih pegang 51% saham pemilik bangunan Exchange 106

MSSB masih pegang 51% saham pemilik bangunan Exchange 106

Gambar hiasan Tun Razak Exchange

KUALA LUMPUR – MKD Signature Sdn Bhd (MSSB) masih menjadi pemegang saham utama Mulia Property Development Sdn Bhd (MPDSB) dan tidak wujud sebarang perjanjian penjualan saham kepada mana-mana pihak.

Kementerian Kewangan berkata, MSSB telah mengambil alih 51 peratus saham di dalam MPDSB pada 19 Julai 2017 daripada Mulia International Limited (MIL) manakala 49 peratus saham lagi
masih dimiliki oleh MIL.

“Keputusan penglibatan MSSB di dalam pembangunan Exchange 106 pada waktu tersebut dibuat bagi memelihara kepentingan projek TRX yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana kesukaran MPDSB mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjelaskan laporan media mengenai dakwaan penjualan saham milik MSSB), syarikat milik
Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dalam MPDSB yang memiliki bangunan Exchange 106 di dalam Projek Tun Razak
Exchange (TRX).

Menurut kenyataan itu, penjualan saham MSSB di dalam syarikat MPDSB adalah tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pemegang Saham yang dimeterai pada tahun 2017 yang mana MIL mempunyai hak untuk melaksanakan Call Option untuk membeli semula 51 peratus saham MSSB pada harga yang telah dipersetujui dan setelah menjelaskan pinjaman yang diberikan oleh MSSB. – MalaysiaGazette