RAMADAN adalah bulan keberkatan yang juga merupakan penghulu segala bulan. Allah SWT melipatgandakan pahala amalan, membuka pintu-pintu kebaikan, menghapus dosa dan mengganjari ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan.
Daripada Sahl bin Sa‘ad RA berkata, Nabi SAW bersabda, “Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk”. (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).
Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa. Al-Rayyan membawa maksud orang yang tidak merasa dahaga. Kalimah atau sifat ini sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.
Selain itu, natijah akhir orang yang berpuasa juga adalah takwa. Lantaran itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183). Allah SWT mengungkapkan puasa dengan takwa menggunakan kalimah Laalla yang bermaksud mudah-mudahan.
Kalimah ini menunjukkan bahawa amalan puasa yang dilakukan oleh seseorang individu tidak dapat dipastikan sama ada ia akan membawa kepada takwa atau sebaliknya kerana ibadat puasa mempunyai syarat- \syarat yang mesti diiukuti bagi menjamin kesempurnaannya.
Maka tidak hairanlah lantaran besarnya hikmah Ramadan, maka pada zaman Rasulullah SAW para sahabat sangat merindu dan menanti kedatangan Ramadan. Penantianpara Sabahat r.a bagai menanti kedatangan kekasih yang sudah lama tidak bertemu.
Rasulullah SAW mengajar umat untuk berdoa ketika hampirnya kedatangan Ramadan sejak bulan Rejab lagi. Doa baginda, “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan (hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadan.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi).
Perbanyakkan zikir dan doa untuk memohon rahmat dan berkat dalam kehidupan serta diberikan kesihatan yang baik menjelang Ramadan. Amalkan doa-doa yang terdapat dalam al-Mathurat dan doa-doa harian yang baik. Antara doa yang boleh diamalkan terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud, “Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari siksa neraka”.
Menurut tafsir Ibnu Khuatir (2008: 503-504) menyebut bahawa doa ini meliputi pelbagai kebaikan di dunia dan menjauhkan segala kejahatan. Mencakupi permintaan yang bersifat duniawi seperti kesihatan, rumah yang luas, isteri yang cantik, rezeki yang melimpah, ilmu yang bermanfaat, amal soleh, kenderaan yang baik dan pujian. Kebaikan di akhirat mencakupi permohonan syurga, ketenangan jiwa, kemudahan hisab, keselamatan daripada api neraka, perlindungan daripada segala dosa dan larangan, terhindar daripada pelbagai syubhat dan perkara haram.
Anas bin Malik sendiri jika hendak berdoa, beliau selalu membaca doa itu atau memasukkan doa tersebut dalam doa yang lain (al- Bukhari). Umat Islam dianjurkan untuk mengulang kaji berkaitan fiqh puasa. Berpuasa bukan sekadar ikut-ikutan tetapi perlu dilaksanakan dalam keadaan yakin berdasarkana ajaran Islam yang sebenar.
Berpuasa juga bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi bertujuan untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan menuntut keredhaan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”(H.R Muttafaqun ‘Alaih). Umat Islam yang ingin mendapat kesempurnaan ibadat puasa Ramadan hendaklah memperkukuhkan ilmu berkaitan kewajipan berpuasa dan tatacara berpuasa yang betul untuk tujuan mencapai takwa.
Penekanan diberikan berkaitan rukun puasa Ramadan melibatkan niat puasa dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa merupakan perkara yang wajib dipelihara supaya puasa tersebut diterima. Kefahaman berkaitan sunat-sunat puasa, adab-adab puasa, perkara yang dibolehkan atau perkara-perkara yang tidak dibolehkan ketika berpuasa dan amalan-amalan tambahan sepanjang Ramadan juga perlu ditambahbaik kefahaman berkaitan dengannya.
Antara lain orang-orang mempunyai hutang puasa perlu diberi perhatian. Tuntutan ke atas dirinya untuk menggantikan atau mengqada’kan puasa Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar’ie ( musafir, haid atau nifas atau wiladah ), sakit yang ada harapan sembuh termasuk Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di Bulan Ramadhan dengan sebab bimbang akan kesihatan dirinya sahaja atau bimbang akan kesihatan dirinya dan janinnya atau anaknya. Golongan ini wajib Qada’ puasa iaitu menggantikan puasa mereka mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.
Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya golongan ini tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib kepada mereka Qada’ puasa dan membayar Fidyah (Majlis Agama Islam Negeri Johor, 2021). Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya. Maka menjadi tanggungjawab waris-warisnya untuk membayar fidyah si mati mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Perkara ini mesti dilakukan kerana puasa Ramadan termasuk salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang tidak boleh dipandang remeh. Lazimilah diri kita dengan melakukan amalan sunat yang boleh mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Lakukan puasa-puasa sunat selain melakukan puasa Qada.
Puasa sunat yang boleh dilakukan antaranya puasa setiap hari Isnin dan Khamis, berpuasa sunat pada hari putih (Ayyamul Bidh) iaitu setiap 13, 14 dan 15 bulan qamariah kecuali hari tasyrik pada 13 Zulhijah serta puasa-puasa sunat yang lain yang dituntut untuk dilakukan.
Lazimkan diri kita untuk bangun awal sebelum masuknya waktu Subuh. Qiamullail dengan melakukan solat-solat sunat. Antara solat sunat yang boleh diamalkan ialah solat sunat Tahajjud yang dilakukan 1/3 malam. Waktu ini kita bersunyian dengan Pencipta yang Maha Agung. Semua orang sedang nyenyak tidur dibuai mimpi. Tetapi bayangkan kita bangun untuk mengadu kepada Allah. Nak mudah bangun Tahajjud?
Sebelum tidur niatlah untuk bangun Tahajjud, jauhkan perbuatan maksiat dan Istiqfar memohon ampun dari Allah. Berkaitan bangun di malam hari ini Allah berfirman yang bermaksud, “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Isra’; ayat 79). Lazimi diri juga untuk membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat setiap hari.
Selain membaca ayat-ayat Allah SWT, dituntut juga untuk kita menghayati makna dan isi kandungan ayat-ayattersebut sebagai amalan dan pengajaran dalam kehidupan. Imam An-Nawawi dalam hadis 40 berpesan bahawa orang yang sekadar dibaca sahaja tetapi tidak berusaha memahami isi kandungannya, maka akhlaknya tidak akan berubah.
Usaha sedaya yang mampu untuk melakukannya. Bahkan, amalan-amalan tersebutlah yang akan memudahkan kita menghidupkan Ramadan. Bersamalah kita merebut kelebihan Ramadan 1442 H yang semakin hampir. Persiapkan diri sebelum tibanya Ramadan sebagai usaha meraih pahala dan bonus yang ditawarkan.
Bukan selalu Ramadan bersama kita, tetamu agong ini akan muncul hanya sebulan daripada 12 bulan. Anggaplah ini juga adalah Ramadan terakhir buat kita, pasti rugi jika kita merebutnya. Selamat menyambut Ramadan 1442H. Semoga Allah SWT memberkati
amalan kita semua.
Oleh: Dr. Naemah binti Hamzah
Penolong Pengarah,
Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia