Home Dunia Bekalan elektrik dipotong selepas letupan berlaku lagi di La Soufriere

Bekalan elektrik dipotong selepas letupan berlaku lagi di La Soufriere

Jalan raya dipenuhi debu tebal daripada letusan La Soufrière. foto Agensi

TRINIDAD – Letusan gunung berapi di Pulau St Vincent telah mencetuskan letupan lagi menyebabkan bekalan elektrik dan air terpaksa dipotong.

Gunung berapi La Soufriere pertama kali meletus pada hari Jumaat, menyelimuti pulau itu dengan lapisan abu dan memaksa kira-kira 16.000 orang penduduk dipindahkan dari kediaman mereka.

La Soufrière adalah gunung berapi yang aktif di Pulau St Vincent.

Para saintis memberi amaran bahawa letusan akan berlanjutan selama berhari-hari, atau berminggu-minggu.

Kawasan tersebut kini digambarkan sebagai “zon pertempuran” dan kemungkinan lebih banyak kerosakan dan kemusnahan dijangka berlaku.

Organisasi pengurusan kecemasan Nemo menerusi Twitter berkata: “Bekalan elektrik dipotong berikutan kejadian letupan lain di gunung berapi La Soufriere. Kilat, guruh dan gemuruh.”

Asap tebal masih menyelubungi ruang udara di Pulau St Vincent. foto Agensi

Debu berwarna putih telah menutupi bangunan dan jalan di sekitar pulau itu, termasuk di ibu kota Kingstown.

Abu dari letusan di darat pula mula mengeras selepas semalaman dan kebanyakan kediaman masih tidak menerima bekalan air dan elektrik, menurut Nemo.

Nemo menasihati orang ramai untuk “berhati-hati di jalan raya yang terjejas akibat aliran abu”.

Perdana Menteri Ralph Gonsalves mengatakan bekalan air ke sebahagian besar pulau itu terputus dan ruang udaranya ditutup kerana asap dan abu tebal gunung berapi yang bergerak di atmosfera.

Gonsalves berkata, ribuan penduduk telah tidur di tempat perlindungan kecemasan sejak Jumaat lalu.

“Kami tidak tahu berapa banyak lagi yang akan keluar … setakat ini, kami telah melakukannya (operasi) dengan baik sehingga tidak ada yang cedera, tidak ada yang mati,” ujar beliau. – MalaysiaGazette