Home Nasional Pemandu treler, kelindan maut

Pemandu treler, kelindan maut

Keadaan treler yang terlibat dalam kemalangan maut di KM 43.3, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak semalam.

KUANTAN – Seorang pemandu treler dan kelindan maut selepas kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di KM 43.3, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak kira-kira pukul jam 9.10 malam tadi.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori yang berusia 44 tahun dan kelindannya, 63 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, nahas itu berlaku ketika pemandu lori treler yang memandu di lorong kiri dari arah Kuala Lumpur ke Bentong tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik serta melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.

Lori treler volvo yang membawa muatan batu bongkah itu mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian hadapan kepala lori dan ekor lori.

Difahamkan ketika kejadian, jalan raya dalam keadaan licin kerana hujan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.” katanya di sini.

Menurut Zaiham, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan dan menghubung Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong. – MalaysiaGazette