Home Utama JPJ tawar diskaun saman 70 peratus

JPJ tawar diskaun saman 70 peratus

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melihat ruang pameran pada Sambutan Ulang Tahun Jabatan Pengakutan Jalan Ke-75 Tahun di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan potongan sebanyak 70 peratus terhadap semua saman dan kompaun yang dikeluarkan selama dua bulan bermula esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata, diskaun saman yang ditawarkan itu sempena ulang tahun JPJ yang ke-75.

Menurut beliau, diskaun itu melibatkan semua saman boleh kompaun yang masih lagi berkuatkuasa semasa tawaran kecuali kes dalam sebutan mahkamah dan mereka yang dikenakan tindakan senarai hitam turut layak menerima pengurangan tersebut.

Dr Wee Ka Siong (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pada Sambutan Ulang Tahun Jabatan Pengakutan Jalan Ke-75 Tahun di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2021.

“Kita sekali lagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menjelasan saman aktif berjumlah 3.5 juta dengan potongan sebanyak 70 peratus.

“Orang ramai digalakkan untuk membayar secara online bagi memudahkan urusan selain dapat mengurangkan kesesakan ketika musim pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika sidang media selepas sambutan ulang tahun JPJ ke-75 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

Ka Siong berkata, 3.5 juta saman aktif berkenaan merupakan jumlah terkumpul di antara tahun 2010 sehingga Mac tahun ini.

Tambah beliau lagi, pengurangan saman boleh dilaksanakan di semua pejabat JPJ negeri, cawangan, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan secara atas talian melalui portal rasmi JPJ.

Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, JPJ hari ini turut memperkenalkan sistem menunggu giliran secara dalam talian iaitu JPJeQ yang hanya memerlukan pelanggan mengimbas kod QR.

“Mereka boleh membuat pilihan cawangan JPJ yang tidak ramai pelanggan bagi mengelak kesesakan yang berlaku di kaunter atau perlu beratur panjang dalam menyelesaikan pelbagai urusan,” ujarnya.

Dr Wee Ka Siong diiringi Ketua Pengarah Pengakutan Jalan Malaysia, Datuk Zailani Hashim (kanan) melakukan pelancaran siri nombor pendaftaran “FD” pada Sambutan Ulang Tahun Jabatan Pengakutan Jalan Ke-75 Tahun di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2021.

Sementara itu, menurut Ka Siong, JPJ turut melancarkan siri nombor pendaftaran ‘FD’ bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya yang boleh dibida secara dalam talian menerusi JPJeBid mulai hari ini dan tamat 16 April pada pukul 10 malam.

Katanya, pelaksanaan sistem JPJeBid ini berjaya membuka bidaan nombor-nombor kenderaan sebanyak 218 siri dengan kutipan keseluruhan hasil sehingga Mac 2021 sebanyak RM299 juta.

“Bidaan tersebut akan berlangsung selama lima hari di mana keputusan rasmi dari segi pembida-pembida yang berjaya akan diumumkan dalam tempoh 24 jam setelah e-bidaan ditutup,” katanya. – Malaysia Gazette