SHAH ALAM – Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed menegaskan tidak wujud perbezaan prosedur pemberian kelulusan rentas negeri di semua balai polis di negeri ini.
Jelas beliau, bagi urusan perniagaan misalnya, individu yang mahu merentas negeri perlu membawa surat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke balai polis.
”Sebenarnya yang pergi ke balai dengan ada alasan-alasan perniagaan mesti ada sokongan. Jadi kena tunjuk apa perniagaannya kerana kalau urusan perniagaan selalunya ada kebenaran dari MITI dan sebagainya.
“Semua balai polis mengamalkan prosedur operasi standard yang sama,” katanya selepas menyampaikan Sijil Penghargaan kepada empat anggota polis di sini hari ini.
Sementara itu, Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat isu sekeping borang rentas negeri kosong dengan tanda tangan Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 yang tular baru-baru ini.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pegawai berkenaan jika wujud kesalahan.
“Kes ini kita dapati tanda tangan itu bukan dibuat oleh Ketua Balai Polis (OCS) dan kita kena ingat borang boleh dimuat turun.
“Apa-apapun kita masih lagi menyiasat kebenaran, sama ada diperoleh daripada balai atau sebaliknya. Kalau ada anggota kita yang terlibat kita akan kenakan tindakan,” tambahnya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berhubung perkara ini. -MalaysiaGazette