KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tawaran diskaun 50 peratus bagi saman trafik menerusi aplikasi MyBayar Saman untuk tempoh empat hari lagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sejak dilancarkan pada 25 Mac lalu, lebih RM73 juta bayaran saman berjaya dikutip menerusi aplikasi tersebut dalam masa 18 hari sehingga semalam.
Menurutnya, jumlah itu membabitkan sebanyak 659,998 saman yang dibayar.
“Atas permintaan dan sambutan yang menggalakkan daripada orang awam, JSPT melanjutkan empat hari tawaran diskaun 50 peratus sehingga Khamis yang boleh dibayar menerusi MyBayar Saman.
“Seramai 708,030 pengguna juga telah mendaftar melalui aplikasi mudah alih tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada 25 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi saman terpilih kepada mereka yang membuat pembayaran melalui aplikasi MyBayarSaman.
Abdul Hamid berkata, tawaran diskaun yang berlangsung selama 18 hari itu bersempena Sambutan Hari Peringatan Polis ke-214.
Semua jenis kompaun saman diberikan diskaun 50 peratus kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garis kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat. – Malaysia Gazette