DUBAI – Iran menyalahkan Israel ekoran gangguan yang berlaku di tapak nuklear Natanz dan berikrar akan membalas dendam, menurut stesen televisyen yang memetik Menteri Luar Negeri, Mohammad Javad Zarif sebagai berkata.
Pihak berkuasa Iran menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan “keganasan nuklear” dan menegaskan Teheran berhak mengambil tindakan terhadap pelaku.
Iran dan kuasa dunia mengadakan rundingan “konstruktif” minggu lalu yang bertujuan untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear 2015 selepas Washington menarik balik perjanjian tersebut tiga tahun lalu.
“Zionis ingin membalas dendam kerana kemajuan kami dalam menarik semula sekatan … mereka secara terbuka mengatakan mereka tidak akan membiarkan ia berlaku.
”Tetapi kami akan membalas dendam,” kata Zarif.
Beberapa media Israel melaporkan sumber perisik mendakwa perkhidmatan pengintip Mossad negara itu berjaya melakukan operasi sabotaj di Natanz, yang berpotensi menjejaskan kerja-kerja pengayaan uranium dalam beberapa bulan.
Setakat ini Israel belum mengulas mengenai kejadian itu.
Lokasi pengayaan uranium Natanz, yang sebagian besar berada di bawah tanah, adalah salah satu daripada beberapa kemudahan nuklear Iran yang dipantau oleh pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) – pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Saeed Khatibzadeh pada sidang media pada hari Isnin menyifatkan insiden Natanz dianggap sebagai “tindakan terhadap kemanusiaan” namun mujur insiden itu tidak menyebabkan “korban jiwa atau pencemaran”.
“Pakar nuklear kami sedang menilai kerosakan tersebut tetapi Iran akan mengganti empar pengayaan uranium yang rosak dengan teknologi maju,” kata Khatibzadeh.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat berkata, mengatakan Washington tidak terlibat dalam kejadian itu.
“Tiada apa yang perlu kami tambah berhubung spekulasi mengenai kejadian tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette