Home Nasional Najib tidak tahu RM42 juta daripada SRC – Peguam

Najib tidak tahu RM42 juta daripada SRC – Peguam

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari mahkamah selepas mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 12 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC International Sdn Bhd. (SRC).

Ini kerana bekas Perdana Menteri itu percaya bahawa wang dalam akaun AmBank beliau merupakan baki daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam beliau, Harvinderjit Singh berkata, kira-kira RM164 juta dipindahkan ke dalam akaun baharu Najib selepas akaun lama yang digunakan untuk menerima sumbangan ditutup pada Ogos 2013 bekas Perdana Menteri itu percaya wang tersebut merupakan sumbangan daripada Raja Arab Saudi.

“Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu berkata, Najib semestinya tahu wang RM42 juta yang didepositkan ke dalam akaun beliau datang daripada SRC. Ini satu kekhilafan.

“Hakim perbicaraan terkhilaf ketika menyamakan ‘pengetahuan’ selepas wang dipindahkan dengan ‘ketidakjujuran’. Elemen mens rea ’ketidakjujuran’ bagi pecah amanah adalah berdasarkan ‘niat’, bukan ‘pengetahuan’,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Hakim, Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera di sini hari ini.

Harvinderjit berkata, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang memindahkan wang daripada SRC ke dalam akaun Najib tanpa pengetahuannya.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Harvinderjit berkata, pendakwaan semasa menutup kes hanya menunjukkan Jho Low mencampuri urusan akaun Najib.

Ketika ini Abdul Karim bertanya: Mengapa Jho Low yang tidak mempunyai sebarang kuasa, sibuk mengambil tahu (mengenai akaun Najib)?

Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2019

Harvinderjit menjawab, sejak 2011 wang yang diterima sebagai sumbangan derma daripada Arab dan Jho Low menerusi saluran bukan diplomatik telah mengatur pertemuan di antara Raja Arab Saudi dan Najib pada 2010.

“Raja Arab Saudi menzahirkan sokongan agar Najib kekal berkuasa untuk memastikan Malaysia tidak jatuh ke tangan pihak ekstremis.

“Baginda memaklumkan akan menyokong Najib, walaupun baginda tidak nyatakan bahawa sokongan adalah dalam bentuk sumbangan derma,” katanya.

Peguam itu menambah, beberapa bulan kemudian Jho Low memberitahu bahawa Raja Arab Saudi akan menyalurkan derma.

Harvinderjit berkata, Najib kemudian membuka akaun semasa dan akaun simpanan di AmBank kerana beliau menjangka menerima hingga AS$200 juta dalam bentuk derma daripada Arab Saudi.

Sebelum ini, Pengurus AmBank cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi yang memberi keterangan berkata, berdasarkan rekod bank antara 2011 dan 2013, jutaan dolar Amerika Syarikat diremit ke dalam akaun Najib.

Turut didedahkan sejumlah RM304 juta didepositkan ke dalam akaun itu pada 2011, sebanyak RM756 juta pada 2012 dan RM1.9 bilion pada 2013.

Harvinderjit berkata, pada 23 Ogos 2014, Najib memulangkan sejumlah RM2.034 bilion (AS$620 juta) dan baki berjumlah RM164 juta dipindahkan ke akaun baharu beliau. -MalaysiaGazette