TIDAK lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu jutaan masyarakat kita tidak mahu suasana hening 1 Syawal 1441H berulang kembali di tahun ini – tidak boleh pulang beraya di kampung halaman.
Namun, berpandukan kepada statistik kes harian yang dilaporkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM), kita dapati kes harian makin tidak menentu dan tidak konsisten.
Kejap ia naik, kejap ia turun tanpa ada petanda yang munasabah. Angka kluster juga tidak pernah menurun dengan mendatar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar diperkenalkan semula pada Januari lalu.
Malah, jika kita lihat kepada kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan
mengikut kes seharian pada minggu lalu untuk seluruh negara adalah 1.06. Ini masih
melepasi paras neutral dan merupakan kadar paling tinggi sejak awal bulan Februari lalu.
Sekiranya ini berterusan untuk dua minggu lagi, menjangkaui pertengahan bulan Ramadan, maka ia petanda mustahil untuk kita dibenarkan merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Mungkin keputusan yang bakal diputuskan oleh para pakar di KKM ini agak mengecewakan ramai, namun percayalah bahawa setiap pengumuman dari kementerian itu hanya untuk satu tujuan iaitu bagi menyelamatkan nyawa kita bersama.
Ia selari dengan pegangan misi KKM iaitu menghargai kesihatan sebagai aset paling
berharga.
Walaupun pada gambarannya kita mungkin tidak mampu untuk merentas negeri pulang
berhari raya, namun tiada yang mustahil dalam dunia ini. Semua perkara mampu berubah
dengan keizinan Tuhan.
Percayalah, sekiranya nilai Ro/Rt menurun dan jumlah kes harian hanya berlegar sekitar 100 kes sehari, maka tidak mustahil KKM akan membenarkan aktiviti rentas negeri bagi
menyambut Hari Raya Aidilfitri dilakukan.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam setiap ucapannya di majlis-majlis yang dihadiri
kerap memberi mesej kepada kita untuk terus mematuhi amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu pada setiap masa.
“Tiga minggu terkini jangkitan virus sukar untuk diturunkan dan kita dapati ia kerana isu
kepatuhan kepada SOP yang dilihat agak merosot.
“Untuk itu, pihak komuniti dan individu perlu terus jalankan peranan atau mainkan
tangunggjawab untuk pastikan diri dan masyarakat dilindungi sebelum menerima vaksin
Covid-19 yang telah bermula fasa satu dan akan masuk fasa dua tidak lama lagi,” katanya
baru-baru ini.
Dikala kita masih berada pada fasa permulaan proses vaksinasi dan pembentukan imuniti
kelompok dalam negara kita, hanya pematuhan terhadap SOP dan amalan norma baharu
saja yang boleh dijadikan sebagai ‘benteng’ utama untuk kita memberhentikan penularan
virus tersebut.
Justeru hakikat sebenar sama ada kita boleh dibenarkan pulang ke kampung untuk sambut hari raya ada di tangan kita semua. Jika kita terus alpa dan langgar SOP, maka kes harian akan kekal seperti ‘tren’ sekarang dan ini akan menyebabkan kerajaan tidak akan benarkan kita rentas negeri.
Jika kita gunakan tempoh sebulan dalam Ramadan ini untuk sama-sama patuh SOP dan
masing-masing jaga diri, tidak mustahil kes harian akan turun sehingga 100 kes dan
membolehkan pakar-pakar di KKM untuk membuat pertimbangan membenarkan aktiviti
rentas negeri.
Pilihan ada di tangan kita, gunakan hak untuk berfikir secara waras melebihi daripada hak
untuk melayan perasaan rindu untuk makan ketupat dan rendang di kampung halaman.
IBRAHIM MD SYUKRI
Putrajaya
Silap kerajaan buat PKP sambil lewa..patut lock down dlm masa 2 minggu dgn ketat…ni ada yg boleh, ada yg tak boleh
merepek