KUALA LUMPUR – Jurulatih pemain perseorangan badminton Paralimpik negara, Datuk Rashid Sidek tidak mahu cepat membuat ramalan pingat buat anak muridnya, Cheah Liek Hou yang akan menghadapi temasya sukan paralimpik di Tokyo pada Ogos ini.
Ini kerana masih terlalu awal untuk menilai dan merumuskan pingat emas dalam genggaman negara.
Namun, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Liek Hou di atas gelanggang apabila muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai Mac lalu.
“Selepas perlawanan pertama lebih setahun setengah tanpa pertandingan, saya rasa persembahan keseluruhan dipamerkan Liek Hou sangat membanggakan walaupun tidak boleh mengharapka yang terbaik daripada atlet kita.
“Alhamdulillah, dapat menang tiga kejuaraan dan disitu kita dapat lihat perkembangan positif daripada atlet paralimpik badminton apabila pemain sangat bermotivasi tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menerima dos pertama vaksin PfizerBioNtech di Kompleks Sukan DBKL di Taman Desa Tasik, Sungai Besi di sini pagi tadi.
Liek Hou merupakan antara 264 atlet, jurulatih dan pegawai yang menerima vaksin kerana akan menyertai Sukan Olimpik di Tokyo Ogos ini, selain Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ditanya sama ada sudah melihat peluang untuk merangkul pingat emas menerusi Liek Hou, Rashid bagaimanapun menjelaskan sasaran itu belum dimuktamadkan lagi.
Tambah beliau, dengan masa berbaki empat bulan lagi untuk ke temasya dunia itu dalam musim pandemik ini, apa-apa pun luar jangkaan boleh berlaku.
“Walaupun Leik Hou sudah menang dua kali dengan seteru kuat dia dari Indonesia dalam kejohanan antarabangsa di Dubai, kita tak boleh terus selesa dan pandang ringan dengan keputusan itu.
“Mungkin, Liek Hou dan juga seteru kuatnya akan berlatih lebih gigih tetapi fokus saya adalah untuk memastikan atlet kita mengekalkan prestasi, momentum kemahiran dan kecergasan serta mutu permainan di atas gelanggang.
“Dalam temppoh tiga minggu Leik Hou dan saya akan terbang ke Sepanyol untuk kejohanan terakhir tahun ini sebelum ke paralimpik Tokyo nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu Leik Hou ketika ditemui menegaskan dia belum cukup berpuas hati dengan prestasi semasa di atas gelanggang walaupun sudah menang di Dubai.
Dia menewaskan musuh kuatnya iaitu pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 14-21, 22-20, 21-18 di final yang berlangsung di Kelab Shabab Al-Ahli Dubai.
Ditanya mengenai perasaan mengambil vaksin, katanya, dia lebih yakin dan selamat selepas mengambil vaksin dan boleh menyertai kejohanan antarabangsa tanpa takut walaupun akan terus mematuhi SOP ketat seperti penjarakn fizikal dan memakai pelitup muka.
“Saya mahu segera kembali jalankan latihan badminton untuk ke Sepanyol kerana saya dan juga semua pemain di serata dunia tak dapat merasai gelanggang lebih setahun akibat Covid-19. -MalaysiaGazette