Home Nasional Operator hotel boleh isytihar semula KM elektrik, elak penalti – TNB

Operator hotel boleh isytihar semula KM elektrik, elak penalti – TNB

Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Operator hotel yang terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh mengisytiharkan semula Kehendak Maksimum (KM) bekalan elektrik berdasarkan penggunaan semasa bagi meminima atau mengelakkan penalti Caj Sambungan Beban (CSB) bulanan.

Selain operator hotel, pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendapat bekalan melalui Voltan Sederhana dan Voltan Tinggi juga boleh menikmati polisi baharu ini.

Sebelum ini TNB memberikan Pakej Bantuan melalui penangguhan CSB secara automatik selama enam bulan bagi penggunaan bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19.

Justeru kini, sektor perniagaan yang masih terkesan dengan pandemik boleh memohon lanjutan penangguhan CSB bagi tempoh maksimum 6 bulan.

“Mereka tertakluk kepada CSB bagi tempoh enam tahun untuk pengguna baharu dan lima tahun bagi pengguna sedia ada yang membuat permohonan tambahan beban. Kelulusan untuk pengisytiharan semula KM ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” kata TNB menerusi kenyataan.

Penalti CSB dikenakan bagi mengelakkan KM diisytihar berlebihan oleh pengguna semasa permohonan bekalan berbanding beban sebenar yang diperlukan.

Pengisytiharan KM yang berlebihan akan menyebabkan pembaziran kapasiti penjanaan serta peningkatan kos penjanaan dan penghantaran yang perlu ditanggung oleh pengguna lain.

Sementara itu, TNB melanjutkan pemberian diskaun khas bil elektrik 10 peratus kepada enam sektor perniagaan yang terkesan dengan Covid-19 selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2021.

Lanjutan ini merupakan inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Enam sektor perniagaan berkenaan termasuklah pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan, serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Di samping itu, rebat Imbalance Cost Past Through (ICPT) selama enam bulan bagi tempoh penggunaan 1 Januari hingga 30 Jun 2021 kepada semua Pengguna TNB (domestik dan bukan domestik) pada kadar 2 sen setiap kilowatt perjam, juga dianggarkan mendapat penjimatan bil elektrik bulanan antara empat dan lima peratus. – MalaysiaGazette