GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan membuat keputusan berhubung operasi bazar Ramadan sekiranya kes positif Covid-19 di negeri itu naik mendadak dan tidak dapat dikawal.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow percaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memantau kes Covid-19 yang dilaporkan di setiap negeri sebelum membuat keputusan sewajarnya berhubung operasi bazar Ramadan.
“Bagi Pulau Pinang semestinya pemantauan dibuat setiap hari dan jika kes naik mendadak akan memaksa satu keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini.
Terdahulu, Kon Yeow berkata, penganjuran bazar Ramadan yang merupakan kali ke-17 oleh Liga Muslim itu membabitkan 25 gerai.
“Kita percaya penganjuran ini dapat memberikan peluang kepada para peniaga untuk bangkit semula selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette