KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengutamakan pekerja sektor perkilangan dan pembuatan di Selangor dan Pulau Pinang sebagai antara kumpulan yang akan diberi keutamaan bagi suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana dua negeri tersebut telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara ketika ini.
Beliau menjelaskan, kementeriannya maklum dengan kepentingan untuk pekerja industri termasuk pekerja asing bagi mendapat suntikan vaksin secepat yang boleh namun negara masih berdepan masalah bekalan vaksin yang rendah.
“Kerajaan memang komited dalam melaksanakan program imunisasi ini termasuk kepada pekerja asing. Kita juga ambil maklum Pulau Pinang dan Selangor adalah antara negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara kerana wujudnya industri dan aktiviti ekonomi yang rancak.
“Justeru, ini adalah zon yang akan diberi keutamaan untuk mendapat suntikan vaksin bagi pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan.
“Memang kerajaan komited untuk memastikan Program Imunisasi Kebangsaan dapat dilaksanakan berapa segera yang boleh termasuk suntikan kepada pekerja asing.
“Mereka main peranan penting dalam memulihkan ekonomi negara tetapi seperti yang diumumkan oleh Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan), kita juga berdepan dengan masalah vaksin.
“Sekiranya bekalan vaksin tiba di negara seperti yang dijadualkan kita berharap proses program imunisasi dapat disempurna pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat di sini hari ini.
Mohamed Azmin diminya mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai kerajaan negeri itu masih menunggu maklum balas daripada kerajaan pusat berhubung gesaan supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19.
Ditanya sama ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil langkah mengurangkan kehadiran pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan susulan negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan Covid-19, Mohamed Azmin berkata, penilaian risiko perlu dijalankan terlebih dahulu oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, apa yang dilakukan MITI ketika ini adalah melaksanakan langkah awal bagi mengelakkan penularan wabak yang lebih teruk termasuk melalui inisiatif Safe@Work.
“Industri masih dapat berjalan tanpa gangguan jika berlaku kes Covid-19 dengan syarat pekerja yang menjadi kontak rapat diasingkan dan terus bekerja dalam “Safe Work Bubble.”
“Jika ada penilaian risiko yang dikemukakan KKM, kita akan ambil tindakan yang tegas dan sewajarnya kerana kesihatan serta keselamatan rakyat adalah keutamaan kita,” katanya. – MalaysiaGazette
Kalau berginilah statement menteri2, patut sesangat la pelabur2 lari meninggalkan negara untuk melabur di Vietnam, Indonesia dsb!