TEHRAN – Iran mengumumkan akan memperkaya pengayaan uraniumnya hingga 60 peratus.
Pengumuman itu dilakukan dua hari selepas insiden letupan di kemudahan nuklear utama Iran di Natanz yang didakwa angkara tentera Israel.
Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Iran telah mengirim surat rasmi kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai keputusan untuk memulakan perkaya pengayaan uraniumnya sehingga 60 peratus.
Walaupun tidak ada penjelasan terperinci tentang pengayaan itu dimulai, keputusan tersebut telah mencetuskan kebimbangan dari negara lain terutama yang terlibat dalam perjanjian nuklear Iran.
Selain itu, pengumuman itu juga dilihat turut mengeruhkan keadaan ketika rundingan sedang dilakukan di Vienna dalam usaha menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 antara Iran dengan kuasa dunia selepas ia dipinggirkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiga tahun lalu.
Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, Iran hanya dapat memperkaya uranium hingga 3.67 peratus, namun angka itu sudah menjangkau 20 peratus pada Januari lalu.
Langkah itu bakal menyaksikan Iran semakin menghampiri nilai ambang ketulenan uranium untuk kegunaan tentera, iaitu sebanyak 90 peratus. – MalaysiaGazette