Home Nasional Susah sangat nak kawal harga ayam? – bekas Menteri

Susah sangat nak kawal harga ayam? – bekas Menteri

Seorang peniaga dilihat gigih memotong ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub membidas tindakan kerajaan yang dilihat gagal mengawal harga ayam di pasaran.

Beliau berkata, untuk mengawal harga ayam bukannya kerja rumit seperti bidang sains angkasa.

“Kenapa susah sangat ke nak kawal harga ayam dan barang-barang asas keperluan rakyat. Bukannya kerja “rocket science”

“Kami dulu MOA (Kementerian Pertanian) dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dapat kawal dgn baik terutama 2 minggu sebelum dan selepas perayaan besar. Jangan saiz Kabinet je besar tapi mengecewakan rakyat,” katanya hari ini.

Salahuddin Ayub

Bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada laporan media tentang harga ayam bersih sebanyak RM9.50 sekilogram.

Media hari ini melaporkan harga ayam segar di beberapa negeri menunjukkan kenaikan antara 50 sen hingga RM1 sekilogram menjelang Ramadan.

Harga ayam sebelum Ramadan adalah RM8 sekilogram.

Harga itu dilihat sepadan dengan laman web FAMA di www.sdvi2.fama.gov.my pada 13 April lalu.

Bagi harga ayam standard, harga syiling yang ditetapkan adalah antara RM8 hingga RM10 sekilogram.

Pada Tahun Baru Cina lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga ayam hidup RM5.60 sekilogram (borong) dan RM 6.10 sekilogram (runcit) serta ayam standard (RM6.60/RM7.40 sekilogram) dan ayam super (RM7.40 /RM8.30 sekilogram).

Ia diumumkan Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada awal Februari lalu.

Bagaimanapun, harga Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi Hari Raya Aidilfitri masih belum diumumkan. – MalaysiaGazette