Michael berkata, pihaknya tidak berminat dengan sebarang penjelasan melainkan kerajaan bersedia untuk mengkaji semula dasar yang berkuat kuasa 1 Januari itu.
Michael juga membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low kerana tidak melakukan perundingan dengan pengusaha mengenai dasar tersebut.
Menurutnya, Paul telah memberi mesej yang silap kepada Kabinet sehingga kerajaan beranggapan pengusaha menerima dasar EMC.
Katanya, Paul sekadar mengadakan taklimat ringkas mengenai EMC bersama beberapa persatuan perniagaan.
Michael juga kecewa kerana Paul tidak menyampaikan mesej persatuan perniagaan kepada Kabinet.
“Beliau tidak meneliti perkara ini bersama kami, tetapi sekadar mengadakan taklimat dengan persatuan tertentu.
“Kami sendiri tidak dijemput tetapi mengetahuinya daripada persatuan lain,” katanya kepada Sinchew Daily.
Kata Michael, memorandum mengenai pekerja asing yang dihantar kepada Paul juga tidak dipanjangkan oleh menteri itu kepada Kabinet.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Jemaah Menteri beranggapan bahawa pengusaha bersetuju dengan cadangan mengenai EMC.
Jelasnya, pihak persatuan pernah membangkitkan isu itu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sebelum ini turut beranggapan Paul telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha.
Dalam pada itu, Paul yang dihubungi Sinchew Daily berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan EMC tetapi akan menjelaskan polisi itu kepada pengusaha.
“Saya tahu banyak aduan daripada pengusaha. Kenapa kami nak kaji semula? Ini adalah dasar kerajaan,” katanya. — MalaysiaGazette