Home Nasional Tidak wajar harga ayam naik ketika umat Islam sambut Ramadan

Tidak wajar harga ayam naik ketika umat Islam sambut Ramadan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Di manakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan apa fungsinya ketika rakyat terutama suri rumah berdepan dengan kenaikan mendadak harga ayam di pasaran?

Ketua Pergerakan Wiranita Putra Malaysia, Ros Hanita Mohd Basir berkata, kenaikan harga itu tidak sepatutnya berlaku dan mampu dikawal jika kerajaan peka serta prihatin dengan masalah dihadapi rakyat ketika ini.

Katanya, kenaikan itu pula berlaku ketika umat Islam menyambut Ramadan dan berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ekonomi negara jatuh semakin teruk.

“Dari tinjauan di pasar awam Sungai Besar, Selangor, harga ayam naik kepada RM9 sekilogram. Di Johor pula, harga ayam dijual RM8.50 sekilogram. Di Perak harganya meningkat sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram.

“Kenaikan ini disebabkan harga tinggi dikenakan pemborong sehingga memaksa peniaga menaikkan harga, walaupun sedar ketika ini bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Ros Hanita, KPDNHEP seharusnya memandang serius isu itu kerana rakyat kini sedang sengsara dengan bebanan ekonomi dan pendapatan yang tidak stabil.

Beliau berkata, sudah sampai masanya KPDNHEP tegas dan mengawal harga ayam daripada terus naik.

“Kita gesa pihak berwajib menangani masalah harga ayam yang melambung di pasaran ini. Kasihan rakyat marhein yang berdepan dengan masalah keperitan hidup dan kekangan ekonomi yang tidak menentu.

“Prihatinlah dengan kehidupan rakyat yang bergelut mencari rezeki untuk merayakan kehadiran Aidilfitri.

“Tindakan segera dari pihak berwajib bagi memastikan harga ayam dikawal amat dinantikan,” katanya. – MalaysiaGazette