Home Nasional Curi daging beku RM600,000 untuk jual di pasaran gelap

Curi daging beku RM600,000 untuk jual di pasaran gelap

Sindiket curi daging sejuk beku untuk dijual di pasaran gelap diberkas dalam serbuan di Senai, Johor semalam.

SEBERANG PERAI – Sekumpulan penjenayah sanggup meredah perjalanan kira-kira 700 kilometer dari selatan tahan air bagi mencuri daging sejuk beku di utara untuk dijual di pasaran gelap.

Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dibongkarkan dalam tempoh 12 jam selepas pihak polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun dalam satu serbuan di Senai, Johor pada jam 2.40 petang semalam.

Lori sindiket dipintas di Senai, Johor sebelum polis menemui pelbagai jenis daging sejuk beku yang dipercayai hasil curi.

Kesemua suspek ditahan hasil kecekapan sepasukan polis dari Bahagian Siastaan Jenaya dan Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, selepas mengekori sebuah lori dari Seberang Perai ke Senai yang membawa muatan daging sejuk beku disyaki curi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihak polis melakukan risikan susulan menerima laporan daripada seorang pemilik daging beku berhubung premisnya di Taman Inderwasih, Perai dipecah masuk pada 4 April lalu.

Jelas beliau, pemilik mendakwa kerugian RM300,000 selepas semua daging beku dicuri.

“Selepas kejadian itu, sindiket yang sama dikatakan memecah masuk sebuah premis menyimpan daging sejuk beku di Kulim, Kedah semalam.

Sindiket terlibat dalam kes curi daging beku bernilai RM600,000 dicuri dari Perai dan Kulim.

“Bertindak atas risikan kita mengekori lori sindiket sebelum menemui 395 kotak daging sejuk beku aneka jenama yang dicuri daripada premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shafee, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek yang berasal dari Johor Bahru itu mengaku melakukan kegiatan mencuri daging sejuk beku di Perai dan Kulim, Kedah membabitkan kerugian RM600,000.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek utama sindiket yang berusia 32 tahun itu mendedahkan mereka mencari sasaran kedai sejuk beku di utara melalui Facebook dan Google.

Polis merampas 395 kotak daging beku pelbagai jenama yang dicuri sindiket.

“Sindiket memilih utara susulan kegiatan mereka sudah dikesan polis selatan selain diberkas berkali-kali atas kesalahan yang sama. Selain itu, suspek utama juga dikatakan akan memberi upah antara RM5,000 hingga RM8,000 kepada ahli sindiket bagi setiap satu trip.

“Kumpulan itu memperoleh pulangan lumayan antara RM35,000 hingga RM50,000 dengan menjual daging tersebut di pasaran gelap.

“Kita kini sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Sad yang dipercayai dalang penjualan daging di pasaran gelap,” kata Shafee.

Lelaki berusia 32 tahun dalang sindiket curi daging sejuk beku untuk dijual di pasaran gelap di Johor.

Tambah beliau, keempat-empat suspek itu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette