Home Ekonomi Pemulihan ekonomi capai sasaran jika Covid-19 menurun – Tok Pa

Pemulihan ekonomi capai sasaran jika Covid-19 menurun – Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan yakin unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak enam hingga 7.5 peratus yang disasarkan tahun ini dapat dicapai sekiranya keadaan Covid-19 terus menunjukkan pengurangan gejala penularan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini terbukti  dengan beberapa petanda baik yang telah menunjukkan pemulihan ekonomi negara.

“Apa pun kita yakin apa yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu enam hingga 7.5 peratus tahun ini dan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengunjurkan pertumbuhan negara kita sebanyak 6.5 peratus tahun ini.

“Sekarang ini, ada tanda-tanda (positif), dalam seminggu dua lagi BNM akan mengeluarkan kadar pertumbuhan ekonomi negara dalam suku pertama iaitu tempoh Januari hingga Mac.

“Kita yakin ada julat (range) six to 7.5 percent, banyak bergantung kepada situasi Covid-19, maknanya kalau situasi Covid-19 stabil dan berkurangan, kita mungkin boleh capai even upper end 7.5 peratus,” katanya dalam sidang media terhadap pembangunan PIPC Fasa Kedua di Iskandar Puteri hari ini.

Jelas Mustapa,  antara petanda positif yang dilihat termasuk eksport pada bulan Februari  yang mununjukan peningkatan.

“Ketika itu kadar pengangguran pada bulan yang  sama juga menurun 4.8 peratus. Perkembangan indeks perindustrian serta kenaikan harga komoditi iaitu kelapa sawit dan harga minyak dunia,” katanya.

Beliau berkata, JPDC juga telah melaksanakan sebanyak 58 program peningkatan kemahiran.

“Ini melibatkan 4,097 tenaga kerja Malaysia yang menerima latihan di 12 institusi latihan teknikal awam Malaysia. Program itu diselaraskan dengan keperluan dan permintaan industri dan berjaya menghasilkan kadar pengambilan pekerja setinggi 95 peratus,katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan akan tetap menghadapi cabaran dalam merancang Belanjawan 2022 berikutan situasi Covid-19 yang masih dilihat belum stabil serta kekangan dari sumber kewangan negara.- MalaysiaGazette