Home Utama Rider utamakan keselamatan diri, jangan terlampau kejar pesanan

Rider utamakan keselamatan diri, jangan terlampau kejar pesanan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Kepada kawan-kawan kalau hujan jangan terlalu kejar duit kerana keselamatan diri lebih penting.”

Itu pesanan seorang penghantar makanan susulan kejadian seorang penunggang motosikal maut akibat dihempap dahan pokok tumbang semasa hujan lebat di Jalan Damai Jasa berhampiran Stesen Minyak Petronas Alam Damai, Cheras semalam.

Menurut Johari Mohamed, 41, penghantar makanan atau pun barangan perlu mengetahui setiap risiko yang diambil ketika menjalankan tugas.

Johari Mohamed. Foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2021.

“Saya lebih titik beratkan keselamatan diri maknanya kalau hujan lebat memang saya berhenti dan tidak buat penghantaran.

“Saya juga selalu nasihat kepada kawan-kawan kalau hujan jangan terlalu kejar duit kerana kita tak tahu apa akan terjadi, macam semalam dahan pokok jatuh sudah hilang nyawa.

“Kalau kita kejar order, order tak akan habis jadi perlu berhenti seketika dan jika keadaan dah semakin reda boleh la teruskan kerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Putra di sini hari ini.

Kongsi Johari, dia kehilangan pekerjaan sebagai jurulatih kecergasan di sebuah gimnasium selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sejak itu dia terpakasa bekerja sepenuh masa sebagai penghantar makanan kerana tiada pilihan lain.

“Buat kerja rider dahulu sementara menunggu untuk dapatkan kerja asal semula,” ujarnya.

Faiz Kamarudin. Foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2021.

Sementara itu, penghantar makanan, Faiz Kamarudin, 36, menasihati kesemua riderĀ  supaya menunggang motosikal secara berhemah dan berhati-hati ketika membuat penghantaran pesanan.

“Kerja ini memang besar risikonya dari segi keselamatan diri kerana ada customer yang nak cepat, kalau jadi apa-apa memang tanggung sendiri.

“Semua keputusan atas diri rider itu sendiri yang tentukan sama ada mereka nak cepat dan sebagainya tapi jika terjadi apa-apa memang sedikit sahaja (tuntutan) yang dapat daripada syarikat.

“Saya pernah jatuh motosikal, kalau kita nak claim memang makan masa dan dalam masa sama kita tak boleh buat job dan tiada income, jadi walau sakit macam mana pun tetap jalan kerja untuk cari nafkah,” katanya.

Turut senada, Khairudin Monjani, 43, berkata, penunggang motosikal sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko dan bahaya ketika berada di atas jalan raya.

Khairudin Monjani. Foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2021.

Jelas Khairudin, walaupun pekerjaan sebagai seorang rider memerlukan individu itu untuk menjalankan tugas dengan pantas namun faktor keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

“Sebenarnya memang risau juga kerana kerja kita bermain di atas jalan jadi risiko itu memang akan ada cuma apa yang boleh diamalkan adalah dengan berdoa, tawakal dan berhati-hati.

“Nasihat saya, kita jangan kejar order sangat kalau boleh nak hantar order jangan dalam keadaan terkejar-kejar dan jangan langgar lampu isyarat.

“Saya sendiri bila hujan tak on aplikasi penghantaran kecuali ketika dalam perjalanan, kalau sudah hujan lebat saya akan berhenti dahulu berteduh dan maklumkan kepada pelanggan. Apabila dah reda baru teruskan perjalanan semula,” katanya.

Abdul Fattah. Foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2021.

Bagi Abdul Fattah, 27, dia mula menjadi penghantar makanan sepenuh masa sejak tahun lalu selepas kehilangan pekerjaan ketika musim PKP.

“Sebelum ini kerja construction, masa PKP company drop nasib baik ada Grab boleh cari duit kerana nak minta kerja lain pun tak dapat.

“Saya sedar kerja ini memang banyak risikonya kerana macam-macam boleh terjadi.

“Kalau hujan lebat tiada angin kencang boleh jalan lagi tapi kalau sudah sampai ribut lebih baik cari tempat berteduh.

“Buat kerja rider ini biar lambat asal selamat, kalau hujan berhenti lah jangan kejar sangat order,” ujarnya.

Semalam, seorang penghantar makanan, Syed Izzat Izzudin, 20, maut di tempat kejadian selepas dahan pokok jatuh menimpanya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang. – Malaysia Gazette