Home Nasional Bukit Aman kutip bayaran RM4.22 juta menerusi MyBayar Saman

Bukit Aman kutip bayaran RM4.22 juta menerusi MyBayar Saman

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya mengutip bayaran saman berjumlah RM4.22 juta setakat ini menerusi aplikasi dan web MyBayar Saman.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya mengutip bayaran saman berjumlah RM4.22 juta setakat ini menerusi aplikasi dan web MyBayar Saman

Pengarahnya, Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias berkata, kutipan terbaharu itu melibatkan sebanyak 38,306 saman yang dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya berbanding jumlah terkumpul 803,739 saman dengan nilai keseluruhan berjumlah RM89 juta.

Katanya, sejak membuka pembayaran saman itu dengan diskaun 50 peratus selama 11 hari bermula 25 Mac lalu sehingga hari terakhir sebelum dilanjutkan empat hari lagi hingga semalam, seramai 814,622 pengguna telah mendaftarkan diri dalam aplikasi MyBayar Saman.

“Kita berjaya kutip RM4.22 juta sepanjang tempoh itu yang diberikan itu. Sambutan pengguna terhadap aplikasi yang dibangunkan sendiri oleh JSPT sebagai platform khas bayaran dalam talian tanpa menyukarkan pengguna beratur berjam lama di kaunter secara fizikal sangat menggalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Azisman menjelaskan pihaknya turut menerima sebanyak 6,083 aduan berhubung aplikasi tersebut.

Tambah beliau, JSPT akan mengenalpasti beberapa aspek dalam khidmat aplikasi itu yang perlu diperbaiki seperti pendaftaran oleh syarikat, warga asing, had bayaran individu dan lain-lain.

Pada 25 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah melancarkan aplikasi khas itu di Bukit Aman bagi memudahkan pesalah trafik melunaskan tunggakan saman mereka tanpa beratur panjang di kaunter balai trafik.- MalaysiaGazette