Home SISWA Seminar Pelancongan Desa Lestari anjuran UMS tarik 242 penyertaan

Seminar Pelancongan Desa Lestari anjuran UMS tarik 242 penyertaan

Sebahagian daripada peserta seminar.

KUALA LUMPUR – Seramai 242 peserta menyertai Seminar Antarabangsa Pembangunan Pelancongan Desa Lestari anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bersama Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo, Universiti
Malaysia Sabah (UMS).

Bertemakan ‘Peluang dan Strategi Pelancongan Luar Bandar Lestari’, seminar tersebut diadakan secara atas talian menggunakan platform Cisco Webex, baru-baru ini.

Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP UMS merangkap pengerusi penganjur, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, seminar itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang
strategi semasa bagi pelaksanaan pelancongan desa.

“Ia juga menjadi medan untuk mereka saling berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai konsep pelancongan ini.

“Dalam masa yang sama ia turut mengupas topik perbincangan daripada pelbagai sudut perspektif dengan menampilkan pembicara dan penceramah jemputan dari UMS dan beberapa pakar antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang ini,”
katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Perasmian seminar disempurnakan Dekan FPEP UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Md Mansur.

Dalam ucapannya, Kasim memaklumkan bahawa pelancongan desa mempunyai potensi yang besar dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

”Walaupun pasarannya belum berkembang sepenuhnya, namun pelancongan luar bandar ini dilihat mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang maju. Ini kerana ia mampu memberi pengalaman yang berbeza bagi kesemua pelancong yang
datang berkunjung.

”Di sini mereka menikmati keindahan alam semula jadi selain merasakan pengalaman hidup di kawasan desa. Dan sesungguhnya sistem pelancongan yang mengambil kira tentang penjagaan alam sekitar sememangnya sesuatu yang amat wajar kerana pemeliharaan alam semula jadi ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi dalam sesuatu industri
pelancongan sekiranya ingin terus kekal lestari dan berdaya tahan,” katanya.

Justeru, penganjuran seminar ini amat tepat pada masanya untuk mencari strategi bagaimana kaedah yang terbaik dalam pelaksanaan pelancongan luar bandar yang lestari dengan mengekalkan keindahan flora dan fauna.

Untuk rekod, semua peserta yang mengambil bahagian pada seminar sehari itu mewakili 70 organisasi dari negara China, Jepun, Filipina, Thailand, Nepal, Indonesia, Turki dan Malaysia.

Penganjurannya ditaja UMS Niche Grant Scheme, sebuah dana penyelidikan yang mempromosikan penyelidikan berfokus dalam usaha untuk meningkatkanketerlihatan universiti dengan hasil penyelidikan berimpak tinggi dan sumbangan
positif kepada masyarakat. – MalaysiaGazette