BUTTERWORTH – Seorang penganggur menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan pada Mac lalu.
Tertuduh, Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Suspek sepatutnya dihadapkan untuk prosiding jatuh hukum hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah pada 16 Mac lalu dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM10,000 sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakhri sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bawah mata dan perut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di L-07-07, Pangsapuri Luminari, Jalan Harbour Place, Butterworth di sini kira-kira jam 9 malam pada 6 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.
Kes akan disebut semula pada 27 Mei depan bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa.
MalaysiaGazette pada 9 Mac lalu melaporkan kekasih kepada seorang pembantu kedai ditahan selepas disyaki mendera bayi lelaki dalam satu kejadian di Apartmen Luminari.
Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas wanita berusia 25 tahun yang juga ibu mangsa menghantar bayi itu ke rumah suaminya pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette