PASIR GUDANG – Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin mempersoalkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO perlu menyelesaikan masalah dalaman sebelum rundingan agihan kerusi dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diteruskan.
Naib Presiden UMNO itu berkata, soal pembahagian kerusi dalam menghadapi PRU15 tidak menjadi masalah ekoran UMNO sudah pun melantik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai perunding yang mewakili parti itu.
“Kenyataan Abdul Hadi ini tidak begitu jelas, apa maknanya masalah dalaman UMNO.
“Saya lihat soal nak runding dengan siapa pun, UMNO memang tiada masalah sebab kita telah pun bersetuju lantik Datuk Seri Mohamad Hasan untuk melakukan rundingan pembahagian kerusi.
“Jadi tiada masalahnya, tak ada siapa cakap tak setuju Datuk Seri Mohamad Hasan berunding berhubung pembahagian kerusi dengan Pas.
“Saya sebenarnya tak faham apa maksudnya, apa yang dia nak tunggu dan apa masalahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Insentif Johor Berkebajikan E-Kasih 2021 di Dewan Serbaguna Taman Cendana Pasir Gudang, Johor.
Terdahulu, Pas meminta UMNO menyelesaikan masalah dalaman dan menetapkan hala tuju jelas bagi membolehkan perbincangan agihan kerusi yang tertangguh dapat diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Presiden Pas itu menambah, partinya tidak menghentikan rundingan bersama UMNO namun parti itu mengambil pendirian berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selagi kemelut UMNO tidak menemui penamat.
“Ia (agihan kerusi) baru di peringkat awal, dengan UMNO kita masih ada hubungan.
“Kita tidak henti cuma tangguh kerana masalah UMNO tidak selesai. Orang-orang pun dia tukar menukar, lepas orang ini tukar orang ini pula, ia tidak tetap jadi kita tunggu (selesai) dan bincang dengan Bersatu dulu,” kata Abdul Hadi selepas selepas menyampaikan kuliah dhuha secara dalam talian di Masjid Rusila.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO mengamalkan demokrasi dan ahli-ahlinya bebas memberikan pandangan serta pendirian berbeza.
“UMNO tidak pernah kekang mereka untuk zahirkan pendirian mereka dan apabila pendirian dizahirkan walau apa pun perbezaannya bukan masalah.
“Itulah UMNO meraikan demokrasi,” katanya.
Mengenai Muafakat Nasional (MN) yang dimenterai antara UMNO dan Pas, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, UMNO akan terus mendukung dan memantapkan kerjasama yang sudah sedia terjalin.
Dalam majlis itu, Mohamed Khaled yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Pasir Gudang menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh dua bulan kepada sebahagian daripada 783 penerima yang tersenarai dalam e-Kasih bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri.
Bagi program tersebut, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memperuntukkan RM469,800 untuk diserahkan kepada penerima yang layak.
Betul tu…PAS kata UMNO kena tentutkan dulu halatuju jelas? Dalam PAU baru2 ni dah jelas..UMNO kata no Bersatu! tak jelas lagi kah tu?? haaa lebai