Home Nasional 60 peniaga, keluarga asnaf terima sumbangan PPZ-MAIWP

60 peniaga, keluarga asnaf terima sumbangan PPZ-MAIWP

Abdul Hakim Amir Osman menyampaikan bantuan kepada Juliana Ariani Mohd Safari, 45 ketika Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1 di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 60 peniaga dan keluarga asnaf menerima sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1 di Masjid Imam Al-Ghazali, Kepong hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, program yang dijalankan sebanyak empat siri itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pembayar zakat dan golongan asnaf.

“PPZ-MAIWP bersama AXA Affin General Insurance telah menaja sebanyak 40 buah khemah untuk peniaga-peniaga asnaf menjalankan perniagaan bazar Ramadan di masjid ini.

“Manakala 20 keluarga lagi menerima sumbangan wang tunai berserta beras bagi membantu meringankan beban mereka di bulan Ramadan ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,000,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Turut hadir, Pengurus Baitulmal MAIWP, Ahmad Tarmizi Yahaya.

Abdul Hakim Amir Osman menyampaikan bantuan kepada Zakaria Abd Hamid, 83 ketika Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1 di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada golongan yang terjejas teruk ketika musim pandemik Covid-19 terutamanya mahasiswa, peniaga, fakir miskin serta rumah-rumah kebajikan.

“Sepanjang Covid-19 ini kita tidak pernah terbayang bahawa kesannya adalah cukup teruk kerana dahulunya mereka ini mempunyai pekerjaan namun kini telah kehilangan pekerjaan.

“Sekarang ini adalah masa untuk mereka cuba bangkit semula untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi dengan berniaga kerana ini merupakan salah satu cara untuk meneruskan kehidupan.

“Melalui Baitulmal juga banyak skim-skim bantuan yang disalurkan terutamanya bantuan perniagaan.

“Saya juga ingin ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat terutamanya penyumbang yang besar kerana mereka ini banyak membantu dan turun padang untuk menyantuni golongan asnaf secara langsung,” ujarnya. – Malaysia Gazette

Abdul Hakim Amir Osman menyampaikan khemah kepada peniaga asnaf ketika Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1 di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.