KUALA LUMPUR – Dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan bahawa pembentukan Perikatan Nasional (PN) dipersetujui UMNO adalah sama sekali tidak benar.
Ini kerana PN yang didaftarkan secara mengejut itu tidak pernah dirunding bersama UMNO, tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
”Setelah Kerajaan 22 bulan jatuh akibat PPBM dan sekutunya keluar, hasrat UMNO untuk pembubaran Parlimen tak tercapai. Maka demi kelangsungan pentadbiran negara, UMNO setuju bersama membantu membentuk kerajaan baru.
”Tiada nama untuk kerajaan pada waktu itu.
”Tak lama kemudian, timbul istilah “Kerajaan Perikatan Nasional” yang penjenamaanya tak pernah dirunding pun bersama UMNO. Tiada masalah…,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Shahril, cuma perlu ditegaskan bahawa UMNO tak pernah setuju menjadi sebahagian dari “Parti Perikatan Nasional” yang didaftarkan secara mengejut.
”Soal PPBM hendak masuk MN, di mana keikhlasannya untuk bersama MN kalau terus mendaftar Perikatan Nasional dan mengajak parti lain bersama?
”Kalau lihat kenyataan-kenyataan awal pimpinan PPBM pada dan sebelum bulan Ogos 2020, PN hanya sebagai gagasan besar di mana MN menjadi antara tonggak utama, bersama parti lain dari Sabah atau Sarawak. Tapi tiba-tiba sebelum PRN Sabah, Perikatan Nasional berdiri sendiri,” jelas beliau.
Maka pada waktu itu, kata Shahril, PN bukan lagi sebagai gagasan besar tetapi menjadi parti rasmi yang didaftarkan, tanpa persetujuan UMNO.
”Benar, nak daftar PN tak perlu persetujuan UMNO. Tapi jangan pusing cerita konon UMNO yang mencetus masalah,” ujar beliau.
Mengulas kenyataan Wan Saiful yang mendakwa punca kerjasama terjejas kerana UMNO mahu menjadi ‘abang besar’, Shahril bertanya,siapa sebenarnya yang meratib hendak menjadi abang besar.
Katanya, agak janggal untuk PPBM menuduh UMNO hendak jadi abang besar, sedangkan mereka yang memegang jawatan besar dalam kerajaan.
Menurutnya, PPBM mendaftar PN yang mereka sendiri pengerusikan sedangkan mereka yang dengan gah mengatakan tiada calon PM lain yang bagus, selain calon mereka.
Andai kata UMNO hendak lebih ke hadapan dalam sebarang pakatan politik, ada rasionalnya atas sebab-sebab yang sedia maklum, ujar Shahril tetapi yang jelas dominan hari ini adalah PPBM.
”Yang beraksi seolah-olah abang besar adalah PPBM. Maka sewajarnya mereka melihat tindak tanduk sendiri sejak awal penubuhan Kerajaan PN lebih setahun dahulu jika mahu mengenalpasti punca keretakan kerjasama.
Berhubung kenyataan Wan Saiful bahawa PN adalah kenderaan Melayu-Islam, Ketua Penerangan UMNO itu berkata, baguslah jika PPBM sekarang hendak bercakap tentang penyatuan.
Sedangkan tak lama sebelum ini mereka benar-benar sebahagian Pakatan Harapan selama pentadbiran 22 bulan.
”Mungkin mereka mengharapkan rakyat lupa dan terus mensucikan mereka semata-mata hari ini bernaungkan PN,” tambahnya. – MalaysiaGazette