Home Pendapat Lepasan TVET dulu malu malu, kini bisa mendepani arus perdana

Lepasan TVET dulu malu malu, kini bisa mendepani arus perdana

Gambar hiasan.

PERBINCANGAN berkenaan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)
dengan pesat menjadi cukup popular di Malaysia apabila masyarakat dilihat cukup terbuka terhadap bidang kemahiran dan teknikal pada masa kini. Dilema pelajar yang dilihat lambat untuk menguasai bidang sains dan matematik sering dimomokkan dengan sifat berjaya itu hanya dinilai berdasarkan kepada kepandaian kognitif/otak pemikiran semata mata.

Keberhasilan lepasan TVET yang berjaya ditonjolkan dengan kebolehpasaran kerja yang
tinggi, kematangan peribadi dan kebolehan mempamerkan upaya kemahiran teknikal dilihat antara faktor bidang TVET dipandang tinggi. Pemikiran masyarakat telah dilihat berubah dan sudah memberikan ruang dan peluang kepada pendidikan TVET berada separa dengan pendidikan perdana.

Penekanan terhadap intipati pengetahuan teknikal pelajar TVET tidak perlu dipertikai lagi,
namun bagaimanakah cara dan panduan khusus untuk memastikan lepasan keluaran TVET mampu menepis tanggapan industri untuk terus menonjol dalam persaingan sihat di tempat kerja. Justeru itu, frasa dulu malu-malu, kini bisa mendepani cukup relevan dengan lepasan TVET.

Sifat rendah diri, tidak berani ke depan, pemalu dan ketinggalan dalam kemahiran bukan
teknikal dilihat menjadi penghalang kepada lepasan TVET untuk terus bersaing dalam bidang pekerjaan utama negara. Ianya diakui benar dahulu, namun kini ianya telah dilihat dalam proses penambahbaikkan kearah yang lebih baik dari hari ke hari.

Lepasan TVET masa kini dilihat sudah bersedia mendepani arus perdana. Penghasilan
lepasan TVET yang lebih kompeten dalam aspek kemahiran teknikal telah ditambahbaik
dengan cukup signifikan dengan kemahiran lain seperti komunikasi, penyelesaian masalah, berani menyampaikan idea serta berdaya saing.

Beberapa inisiatif dilihat berjaya menambahbaik lepasan TVET, antaranya melalui
penambahbaikan kurikulum, kaedah pengajaran serta komitmen pihak berwajib.
Penambahbaikan kurikulum yang berteraskan industri adalah langkah yang cukup signifikan.

Keselarian kurikulum TVET dengan kehendak industri menjadikan lepasan TVET dilengkapi
dengan kemahiran semasa. Keperluan industri berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)
menjadi tunjang kebanyakan kurikulum pendidikan teknikal di Malaysia masa kini.
Penggunaan mesin dan peralatan yang menepati kehendak industri menjadikan pelajar lebih bersedia dan tidak kekok bila bekerja nanti.

Transformasi strategi pengajaran daripada berpusatkan guru dahulu telah berubah kepada
berpusatkan pelajar masa kini. Pendekatan pelbagai kaedah pengajaran yang lebih
menumpukan pelajar sebagai pusat tumpuan seperti Pembelajaran Berasaskan Projek (PjBL) dan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) cukup memberikan impak. Pelajar dilatih untuk beri dan bentangkan idea secara terbuka, beranikan diri bertanya, berikan maklum balas serta bekerja dalam kumpulan sebagai persediaan alam pekerjaan.

Pelajar juga dilatih berikan idea relevan dan berikan impak kepada komuniti dan juga industri bersasar. Pendekatan pengajaran teknikal perlu bersifat inklusif, spesifik dan berstruktur. Ianya perlu di susun cukup sistematik dan rapi serta selari dengan keperluan industri supaya ianya menjadi pemangkin kecemerlangan lepasan TVET. Susunan pengajaran teknikal perlu sesuai dengan setiap pelajar yang megikutinya.

Seperti mana kata Saidina Umar Al-Khattab r.a: “Didiklah anak-anak mengikut zamannya”
Komitmen pihak berwajib cukup memberikan kesan. Pihak kerajaan melalui Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Majlis Amanah MARA
(MARA) dan lain-lain menjadi penaung agar usaha ini berjalan lancar. Pelbagai inisiatif
diberikan oleh pihak kerajaan dilihat memfokuskan kepada pembangunan dan kebolehmajuan TVET di Malaysia.

Pihak Industri juga tidak ketinggalan, kesediaan bersama memberikan
maklumbalas, memberikan latihan kepada pelajar seperti On-Job-Training (OJT) dan
peningkatan kemahiran kepada pensyarah, guru dan pengajar cukup memberikan kesan yang positif terhadap input kompetensi teknikal mereka. Semua pihak cukup memainkan peranan yang khusus dan spesifik.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan lepasan TVET berdaya saing, masih terdapat cakap-cakap ketidakpuashatian. Lompong di dalam perjalanan penambaikan itu wujud, cuma dengan usaha yang bersungguh pelbagai pihak ini cukup jelas ianya akan berhasil dalam masa yang berterusan. Maklumbalas bersifat membina diperlukan secara bersama untuk memastikan penghasilan lepasan TVET berdaya saing.

Di akhir kalam, penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak seperti pihak berwajib, industri, pensyarah institut pengajian tinggi (IPT), guru-guru, pengajar dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam merealisasikan impian melahirkan lepasan TVET yang berdaya saing dalam konteks kemahiran teknikal dan sosial. Usaha kalian sudah menampakkan sinar, semoga ianya terus dipermudahkan Allah SWT.

 

Dr Ahmad Nabil Md Nasir
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor