Home Nasional Polis cekup empat pembuli jalan, positif syabu

Polis cekup empat pembuli jalan, positif syabu

logo polis
Gambar hiasan

KLANG – Empat pembuli jalanan yang di bawah pengaruh alkohol melanggar sebuah kenderaan lalu mengheret keluar pemandu itu dan memukulnya dengan kayu di Klang semalam ditahan polis pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian di Taman Sentosa, Klang, mangsa, 25, yang bekerja di agensi pekerjaan sedang dalam perjalanan untuk menghantar sepupunya ke Pelabuhan Klang.

“Tiba-tiba kenderaan mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki oleh empat lelaki tempatan.

“Suspek tiba-tiba keluar dari kereta Honda Civic dan telah bertindak memecahkan cermin kereta, menarik mangsa keluar dari kenderaan dan memukul mangsa dengan menggunakan kayu serta merampas sebuah telefon bimbit milik sepupu mangsa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bertindak atas maklumat, katanya, anggota polis Klang Selatan telah menahan kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu di sekitar selatan Klang antara jam 7 hingga 11 malam tadi.

Tambah beliau, ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Sementara itu, Shamsul Amar berkata,  polis berjaya mengesan dua klip video insiden tersebut berdurasi 0.24 saat tular dalam media sosial.

Video itu menunjukkan sekumpulan lelaki menendang dan memecahkan cermin kenderaan di tepi jalanraya.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada road bully dan dipercayai semua suspek berada dalam pengaruh dadah.

“Mereka berusia antara 23 hingga 35 tahun itu kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette