Home Nasional Rugi RM59,485 diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud

Rugi RM59,485 diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud

Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Enam individu terpaksa berputih mata akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang dikenali menerusi iklan di media sosial.

Lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun itu dikatakan mengalami kerugian berjumlah RM59,485 apabila pelaburan yang dibuat sejak September lalu tiada pulangan selain suspek gagal dihubungi.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa membuat pelaburan dengan sebuah syarikat yang dikenali dengan nama BIA 1983 Resources atau BIA Worldwide Solution.

Kata beliau, modus operandi sindiket adalah  mengiklankan pelaburan melalui media sosial sebelum memujuk mangsa yang menghubunginya membuat pelaburan selain dijanjikan pulangan berganda daripada jumlah modal yang diberikan.

“Bagi menyakinkan mangsa, pada awal pelaburan sindiket meminta mangsa memberikan modal dalam jumlah yang kecil sebelum membayar pulangan tiga kali ganda.

“Percaya dengan pulangan yang diterima membuatkan mangsa melabur dengan jumlah yang banyak. Bagiamanapun selepas pelaburan itu dibuat mangsa tidak menerima sebarang pulangan dan suspek juga gagal dihubungi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Noorzainy, kerugian paling banyak direkodkan membabitkan seorang perempuan berusia 33 tahun berjumlah RM38,120.

“Hasil soal siasat mangsa memberitahu mereka tidak pernah bersua muka dengan suspek yang dipercayai ejen sebaliknya semua urusan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksana dan kita minta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini tampil membuat laporan agar siasatan lanjut dijalankan,” ujar Noorzainy.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy turut menasihatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan sebarang aktiviti pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda. – MalaysiaGazette