Home Sukan Juventus berisiko gagal layak ke Liga Juara Eropah

Juventus berisiko gagal layak ke Liga Juara Eropah

Juventus kalah mengejut kepada Atalanta sekaligus meletakkan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan di ambang bahaya.

ROM – Harapan Juventus untuk mencerahkan peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan kini di ambang bahaya.

Ini kerana juara bertahan gelaran Serie A Itali musim lalu telah kalah mengejut 1-0 kepada pasukan Atalanta dalam aksi liga domestik semalam.

Atalanta yang mengungguli tempat ketiga dalam liga dengan perbezaan dua mata belakang AC Milan yang juga menewaskan Genoa 2-1 semalam.

Skuad the Old Lady kendalian Andrea Pirlo menduduki tangga keempat selepas kekalahan semalam.

Napoli yang menghuni tangga kelima berpeluang menolak Juventus namun gagal memanfaatkan peluang itu apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendahulu liga Inter Milan.

Secara lazim empat pasukan teratas setiap liga di Eropah akan layak secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Tanpa kelibat bintang dunia Cristiano Ronaldo yang tercedera, Juventus buntu di bahagian serangan dan lemah dalam menghasilkan gol.

Alvaro Morata pula gagal menyerlah dan mensia-siakan dua peluang besar untuk mencipta gol semalam.

Gol Ruslan Malinovsky pada minit ke-86 telah menyekat impian Juventus untuk mara ke tempat ketiga dalam carta liga.- MalaysiaGazette