GEORGE TOWN – Sekeluarga tiga beranak terpaksa meneruskan kehidupan mereka dalam stor simpanan barang pembinaan selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran pada 6 April lalu.
Ia menjadi rumah keluarga berkenaan atas ihsan salah seorang jiran mereka namun stor di tingkat atas itu bukan sahaja tidak selesa tetapi mereka turut diancam binatang berbisa.
Menceritakan nasib menimpa keluarga, Effandy Abdul Rahim, 32, berkata, rumah peninggalan ibunya di Lorong Sempadan Dua, Ayer Itam di sini hangus dalam kebakaran menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Jelas lelaki yang menghidap penyakit hati sejak 10 tahun itu, ketika kejadian isterinya, Salbilla Supriyadi, 41, hanya sempat menyelamatkan anaknya Nuur Zulaieca,2, memandangkan dirinya keluar bagi mencari pendapatan.
“Kehidupan kami sebelum ini tidak begitu senang tetapi saya mampu menyara keluarga dengan mengutip barang lusuh, membantu peniaga jual sayur serta mengurut.
“Bagaimanpun, kehidupan kami sekeluarga hilang punca arah selepas kebakaran itu kerana hilang tempat berteduh dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Effandy,, selepas kebakaran itu mereka sekeluarga dibenarkan berteduh sementara di bahagian atas stor simpanan barang pembinaan ihsan jirannya.
Stor tersebut terletak kira-kira lima meter dari rumah tiga beranak tersebut.
“Stor ini tiada kemudahan asas dan kami mengangkut air serta mendapat bekalan api daripada rumah jiran. Walaupun lantainya sudah tidak kukuh namun kami bersyukur kerana jiran di sini sudi membantu.
“Namun, apa yang membimbangkan saya ketika ini ialah keselamatan isteri serta anak kerana dalam tempoh hampir dua minggu tinggal di sini saya sudah menangkap tiga ekor ular tedung yang masuk dalam stor pada waktu malam,” kata Effandy.
Tambahnya, dia sudah membuat permohonan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat Pulau Pinang.
“Saya belum terima apa-apa bantuan lagi setakat ini dan saya percaya prosesnya akan memakan masa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang, P. Murugiah tampil memberikan sumbangan kilat RM1,000 sebaik mendapat berita berhubung kejadian menimpa keluarga malang berkenaan.
“Kami berharap lebih ramai masyarakat dapat membantu keluarga berkenaan terutama bagi membina semula rumah mereka memandangkan pendapatan Effandy tidak seberapa,” ujar Murugiah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank Effandy Abdul Rahim bernombor 157120275273 atau hubungi talian 011 1056 1130. – MalaysiaGazette