Home Nasional PKP Mukim Endau, Triang mulai 20 April

PKP Mukim Endau, Triang mulai 20 April

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Endau dan Mukim Triang, Mersing, Johor dilaksanakan berkuat kuasa 20 April sehingga 3 Mei 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kedua-dua mukim berkenaan.

Ujarnya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 69 kes positif  daripada 437 saringan yang dibuat di mukim-mukim tersebut.

Manakala tambahnya, 25 kes masih lagi aktif.

“Pelaksanaan PKP di kedua-dua lokaliti ini diperlukan kerana masih terdapat kes baru dikesan walaupun telah melebihi dua tempoh inkubasi (28 hari) serta mengelak penularan kes ke lokati lain,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Murni C, Nabawan, Sabah akan tamat pada 20 April ini seperti yang dijadualkan.

Jelasnya, ini kerana trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 196 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP), semalam.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 191 individu dikenakan kompaun manakala lima lagi direman.

Ismail Sabri berkata, antara kesalahan direkodkan tiada penjarakan fizikal (119), tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) manakala 28 untuk lain-lain kesalahan.-MalaysiaGazette