KUALA LUMPUR – PKR sedang memujuk rakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan lambangnya dalam pilihan raya umum akan datang.
Sinchew Daily melaporkan, PKR berpendapat lambangnya yang berupa “mata biru” lebih berpeluang untuk memenangkan PH berbanding menggunakan lambang “Harapan merah”
Pemimpin PKR juga berpendapat kemampuan “mata biru” menarik sokongan dalam Pilihan Raya Umum 2018 sudah terbukti sedangkan PH lebih banyak kecundang apabila menggunakan lambang “Harapan” dalam pilihan raya kecil.
Daripada 10 pilihan raya kecil yang disertai PH, pakatan itu sekadar mencapai kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia di Selangor serta kerusi Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan.
Selain itu, “mata biru” lebih sesuai digunakan kerana “Harapan merah” digunakan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Bersatu masih bersama PH, lambang itu juga dikatakan mempunyai unsur Dr. Mahathir.
Sumber memberitahu, PKR telah membangkitkan isu lambang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijalankan.
Walau bagaimanapun, parti-parti komponen PH gagal mencapai kesepakatan mengenai isu lambang dalam satu kem pemimpin yang diadakan.
“Apa yang dipersetujui setakat ini adalah ketiga-tiga parti komponen mesti menggunakan lambang yang sama” kata sumber.
Menurut seorang pemimpin PH, DAP dan Amanah cenderung menyokong penggunaan lambang “Harapan” kerana masing-masing mempunyai lambang sendiri dan berasa tidak munasabah untuk memakai lambang PKR.
“Mereka berpendapat lambang ” Harapan” lebih dapat mencerminkan semangat tiga parti dalam PH,” kata sumber.
Mengenai persoalan bahawa lambang “Harapan” kurang dikenali orang ramai, pemimpin DAP dan Amanah berpendapat, masih ada masa untuk PH mempromosikan lambang itu.
Walau bagaimanapun, PKR yang berpendapat lambangnya lebih sesuai akan terus memperjuangkan penggunaan “mata biru” dalam pilihan raya.
Menurut sumber, lambang “Harapan” yang dibentuk oleh satu perkataan berlatar belakang merah tidak cukup berkesan untuk menarik perhatian pengundi, khususnya di luar bandar.
“Satu cara lain adalah menghasilkan satu lambang baharu untuk PH,” katanya. – MalaysiaGazette