DIKHABARKAN hari ini, pelajar dari sebuah kolej matrikulasi dalam negara telah di denda serta-merta ketika didapati bersalah melanggar SOP oleh pegawai KKM dalam kuarantin di kolej.
Jika benar dakwaan ini, PEJUANG Muda amat kesal dengan tindakan memberi kompaun kepada pelajar tanpa terdahulu menggunakan budi bicara atau menjalankan siasatan mendalam sebagaimana yang dilakukan terhadap Menteri, artis serta lain-lain orang kenamaan atau ‘kluster kayangan’.
PEJUANG Muda berharap pihak KKM, PKD dapat memberi faedah kesangsian yang adil kepada pelajar-pelajar tidak kira dari kolej mana pun mereka mengaji.
Kami amat menghargai kerja keras yang dilakukan KKM, PDRM, dan agensi berkaitan lain bagi membendung wabak COVID19. Namun, kami berharap pegawai-pegawai penguatkuasa dapat bertimbang rasa khususnya kepada para pelajar, sedangkan mereka yang bertaraf Menteri pun boleh terlupa, terkhilaf serta tersilap kadang kala dalam hal pematuhan SOP.
Tutup sekolah terjejas
Pada masa sama, PEJUANG Muda turut menerima aduan dari ibu bapa dari seluruh pelusuk tanah air, khususnya sekitar Lembah Klang, berkenaan jangkitan COVID di sekolah-sekolah.
Kami berharap pihak KPM, PPD, MKN, serta kerajaan pusat, dapat segera mempertimbangkan penutupan sekolah-sekolah terjejas. KPM dan pihak sekolah turut dinasihatkan agar tidak cuba menyembunyikam sebarang kes. Jangan perjudikan kesihatan serta keselamatan anak-anak.
Kami juga mendesak pihak KPM bagi menyediakan, secara percuma, stok pelitup muka dan pensanitasi tangan, yang mencukupi bagi semua sesi persekolahan.
Harga barang tinggi mengganda kesempitan ibu bapa
Walau apapun jua, kami yakin, tidak ada mana-mana pelajar dengan sengaja mahu melanggar SOP.
Tambahan lagi, kita berharap ibu bapa tidak dibebankan lagi dengan denda ketika harga barang seperti ayam dan minyak naik mencanak.
PEJUANG Muda ingin mencadangkan denda lebih ringan yang dikuatkuasakan pihak sekolah (seperti denda rambut panjang atau memakai pakaian tidak mengikut kod) kepada pelajar yang didapati melanggar SOP. Sebagai pengajaran, denda kerja sukarelawan membersih sekolah (atau yang seumpama dengannya) juga boleh dikenakan.
Banyak keluarga telah mula menyimpan bagi persiapan menjelang Aidilfitri. Denda sebegini walaupun bukanlah mencecah RM10,000, tetap memberi impak kepada perancangan keluarga bagi menikmati Hari Raya yang sederhana meriahnya.
Nik Fathurahman
Naib Ketua
PEJUANG Muda Malaysia