JURU – Sebuah lori tangki yang membawa muatan 20,000 liter minyak masak bocor selepas pemandunya terlanggar tiang sisi di Plaza Tol Juru arah utara di sini hari ini.
Kejadian itu menyebabkan berlaku tumpahan minyak sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir empat kilometer.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 12.03 tengah hari berhubung kejadian tersebut.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerahkan ke lokasi sebelum mendapati pemandu lori berusia 50-an mengalami kecederaan ringan manakala minyak memenuhi laluan plaza tol berkenaan.
“Siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa muatan 20,000 liter minyak masak itu bocor akibat pemandunya terlanggar tiang sisi plaza tol tersebut.
“Susulan itu, pihak bomba bersama petugas PLUS menjalankan kerja-kerja menghentikan kebocoran pada tangki sebelum melakukan pembersihan di kawasan tumpahan minyak.
“Mangsa yang mengalami kecederaan itu dibawa ke hospital oleh pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah jurucakap itu, operasi pembersihan tamat pada jam 1.30 tengah hari. – MalaysiaGazette