KUALA LUMPUR – Bahan mentah makanan ternakan mengalami kenaikan kira-kira 50 peratus sejak awal tahun lalu sehingga Mac 2021 menjadi faktor penyumbang utama kenaikan harga ayam di pasaran Malaysia
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak di Malaysia, Tan Chee Hee berkata, harga jagung pada Januari tahun lalu ialah RM920 bagi setiap metrik tan tetapi meningkat kepada RM1,300 atau 41.3 peratus pada bulan lalu.
Kacang soya pula naik sebanyak 57.6 peratus kepada RM2,600 setiap tan metrik pada bulan lalu berbanding RM1,650 setiap tan metrik manakala minyak mentah sawit melonjak dari RM3,000 setiap tan metrik kepada RM4,000 setiap tan metrik atau 43.3 peratus.
Kenaikan bahan mentah utama makanan ternakan ini telah mengakibatkan kos melambung sebanyak 80 peratus.
“Inilah situasi sebenar yang mendorong kenaikan harga ayam kira-kira 40 peratus, semuanya disebabkan kenaikan harga makanan ternakan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Artikel berkaitan:Harga makanan import ternakan naik pengaruhi harga ayam – Alexander
KPDNHEP Pantau Kenaikan Harga Ayam dan Daging
Tidak wajar harga ayam naik ketika umat Islam sambut Ramadan
Susah sangat nak kawal harga ayam? – bekas Menteri
Chee Hee berkata, kenaikan harga bahan mentah ini diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai ringgit antara 2.0 hingga 3.0 peratus.
Untuk meneruskan kelangsungan pasaran, pemborong terpaksa menaikkan harga ayam.
Menurut beliau, meskipun kenaikan harga ayam mencetuskan kemarahan pengguna tetapi pemborong dan peniaga tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan inilah realiti sebenar dan ia berlaku di seluruh dunia.
“Kalau harga makanan ternakan naik, sudah tentu harga barang akan naik kerana Malaysia mengimport hampir 99 peratus makanan ternakan import.
“Lagipun kenaikan ini bukan disebabkan faktor bekalan dan permintaan, jadi pengguna perlu menerima hakikat ini,” ujarnya.
Chee Hee berkata, Malaysia mengimport makanan ternakan dari Amerika Selatan, Amerika Syarikat, India, Pakistan, Ukraine dan Australia.
Mengulas mengenai harga kawalan yang ditetapkan kepada ayam pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata, harga borong sebanyak RM6.00 sekilogram yang ditetapkan adalah adil dan cukup munasabah.
Ini kerana, pemborong dan pembeli perlu menanggung kos lain-lain termasuk petrol dan gaji pekerja.
Menurut beliau, pasaran menjangkakan harga bahan mentah makanan ternakan meningkat lagi pada bulan Julai dan Ogos sebelum reda pada suku akhir tahun ini.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas sama ada harga ayam akan kembali semula pada harga kenaikan sebelum ini.
“Ini saya tidak dapat ulas kerana ia bergantung kepada permintaan dan bekalan,” katanya. – MalaysiaGazette
Sayang penternak tidak dapat harga murah minyak mentah sawit. Kerajaan perlu bangun industri penternakan dan pertanian makan haiwan berskla besar, untuk keselamatan makanan negara.
jagung dan padi untuk makanan ayam tak payah kacang soya mahal. Kambing , kerbau, dan lembu sepatutnya lebih murah sebab daun-maun menghijau sehingga di bandaraya.