KUALA LUMPUR – Sudahlah tidak dibayar gaji selama setahun, seorang pembantu rumah warga Indonesia juga didera hingga separuh nyawa oleh majikannya di Taman Rainbow, Sentul.
Lebih mengejutkan suspek yang disyaki bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu adalah majiikan dan rakan pembantu rumah dari negaranya sendiri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil serbuan di dalam rumah berkenaan, polis berjaya menahan dua wanita iaitu seorang warga tempatan dan warga Indonesia yang berumur 38 dan 42 tahun.
Kedua wanita berkenaan dipercayai telah mendera seorang perempuan warganegara Indonesia berumur 24 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah tersebut.
Serbuan dilakukan pukul 1.30 pagi semalam oleh sepasukan polis daripada Bahagian D3 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman.
“Pemeriksaan lanjut di rumah itu, pasukan berjaya merampas beberapa senjata seperti rotan, kayu dan besi yang dipercayai telah digunakan suspek untuk mendera mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes berkenaan telah diklasifikasikan dibawah Seksyen 12 & 13 ATIPSOM 2007.
Menurut Eng Lai, hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mengalami kesan kecederaan dan lebam pada beberapa bahagian badan iaitu di bahagian muka, kepala, bahu, leher serta kaki akibat didera.
“Apa yang menyedihkan majikan yang mendera mangsa telah dibantu oleh rakan sekerja mangsa juga seorang pembantu rumah yang berasal dari Indonesia.
“Menurut mangsa, beliau sudah 16 bulan bekerja sebagai pembantu di rumah dengan majikan tersebut dan tidak dibayar gaji selama satu tahun.
“Mangsa dipercayai didera akibat daripada kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugasan harian dan polis berjaya menyelamatkan mangsa dan berjaya memperoleh Perintah Perlindungan Sementara dari mahkamah,” ujarnya.
Menurut Eng Lai, mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita di Damansara untuk sementara siasatan ke atas kedua-dua suspek diteruskan.
Tegasnya, kedua-dua suspek telah ditahan reman oleh pihak polis selama enam hari bermula semalam sehingga 24 April ini untuk tujuan siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Ketua Bahagian Pendakwaan Putrajaya setelah dilengkapkan untuk tindakan lanjut pendakwaan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206.-MalaysiaGazette