Home Nasional Polis keluar notis amaran kepada penganjur bazar Ramadan Kepala Batas, Penaga

Polis keluar notis amaran kepada penganjur bazar Ramadan Kepala Batas, Penaga

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (kanan) semasa membuat pemantauan SOP di bazar Ramadan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Dua notis amaran gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP) ke atas dua bazar Ramadan di  Seberang Perai Utara (SPU) hari ini.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan tersebut diambil bagi membolehkan pihak penganjur bazar Ramadan di Pekan Lama Kepala Batas dan Penaga memperbetulkan SOP agar tindakan penutupan tidak dilakukan.

Noorzainy.

“Hasil pemantauan kita dapati kedua-dua penganjur bazar Ramadan yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung gagal memastikan pengunjung mematuhi penjarakan fizikal ketika membeli juadah berbuka.

“Selain itu, laluan keluar masuk bazar juga dilihat tidak teratur malah ada segelintir pengunjung menulis nama dan nombor telefon dengan kurang jelas di buku log masuk yang disediakan bagi mereka tidak mempunyai telefon pintar.

Gagal memastikan laluan keluar masuk secara teratur juga antara kesalahan dikenal pasti di bazar Ramadan Kepala Batas.

“Bagaimanapun, setakat ini, pihak berkuasa masih menggunakan pendekatan memberi amaran terlebih dahulu sekiranya pemantauan akan datang masih sama tindakan penutupan bazar akan dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Noorzainy turut memeriksa buku log yang disediakan penganjur bazar Ramadan Penaga.

Terdahulu Noorzainy melakukan pemantauan di bazar Ramadan Pekan Lama Kepala Batas yang menempatkan 70 gerai manakala di Penaga sebanyak 46 gerai. – MalaysiaGazette