KLUANG Seorang lelaki maut manakala isteri bersama anaknya berusia dua tahun dan dua lagi mangsa cedera apabila sebuah kereta bertembung dengan treler di Kilometer (KM) 85.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, semalam.
Mangsa, Osman Ismail, 31, yang memandu kereta jenis Perodua Viva, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, insiden berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Kereta yang dipandu mangsa kemudian bertembung dengan sebuah treler yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Isteri mangsa berusia 27 tahun dan anak mereka berumur dua tahun yang turut menaiki kereta itu serta pemandu dan kelindan treler mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohd Faizal Rozali mengesahkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas terbabit pada jam 5.12 petang.
Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memaklumkan operasi selesai pada jam 6.12 petang. – MalaysiaGazette