JEMPOL – “Semua orang mesti terima suntikan ini kalau hendak negara kita baik, jadi mesti kena buat kerana kes pun sudah semakin naik,” kata seorang penerima vaksin warga emas.
Lim Bee Soi, 65, dari Taman Timur Bahau menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah dan Tanah Jempol hari ini.
Jelas Bee Soi, dia langsung tidak berasa gementar kerana sudah menerima nasihat terlebih dahulu daripada doktor yang merawat penyakitnya.
Bee Soi terpaksa menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian belakang badan, tahun lalu.
“Kalau tidak divaksinasi risiko untuk terkena jangkitan tinggi tapi jika sudah cucuk risiko mungkin berkurangan. Jadi saya pun datang hari ini selepas mendapat temu janji kerana selepas ini lebih mudah untuk saya bergerak kemana-mana apabila sudah menerima suntikan.
“Doktor saya juga sudah beritahu, vaksin pertama tiada apa-apa tapi yang kedua mungkin akan letih sikit atau pun mungkin demam,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette.
Sementara itu, pemandu teksi, Manickam Kanapathy, 65, menyatakan dia tidak berasa sakit atau pun pening selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer.
Tetapi menurut Manickam, petugas kesihatan turut mengingatkannya supaya terus memantau keadaan diri jika berlaku kesan sampingan.
“Saya rasa ini memang terbaik untuk semua orang, kalau kita tidak ambil vaksin nanti susah kerana ini adalah untuk kebaikan bersama,” ujarnya.
Seorang lagi penerima vaksin warga emas, Lam Wooi Peng, 66, berkata, dia mengenepikan semua perasaan takut dan berdebar untuk menerima suntikan vaksin kerana memikirkan keperluan melindungi diri dan orang di sekelilingnya.
“Masa hendak datang memang rasa takut tapi bila masuk dalam sudah jadi relaks.
“Bagus lah sudah terima vaksin kerana hendak pergi mana pun rasa lebih yakin tapi jangan lupa untuk pakai pelitup muka,” katanya.
Bagi peneroka Felda Lui Barat, Mohtar Yunus, 65, dia langsung tidak berasa sakit ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 itu dan menganggap ia seperti suntikan biasa yang pernah diterima sebelum ini.
“Tiada rasa apa-apa, semua baik sahaja. Alhamdulillah kerana adanya vaksin ini dan kita sarankan kepada semua rakyat Malaysia supaya mengambil vaksin untuk melindungi diri dan lindungi semua,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman sama, Kamsiah Yaakub, 65, berkata, dia tidak merasa sakit mahu pun kebas di bahagian lengan dan semuanya berjalan lancar.
Dalam masa sama, Kamsiah turut mengajak orang ramai yang sudah mendapat tarikh temu janji untuk hadir ke PPV yang telah ditetapkan.
“Saya nasihatkan kepada sesiapa yang dah tiba giliran kita ikut saranan kerajaan, tiada apa nak dirisaukan. Silalah datang bila dah tiba masa untuk disuntik,” ujarnya yang berasal dari Kampung Baru Ayer Hitam.
Negara kini berada dalam fasa kedua program vaksinisasi yang bermula pada 19 April sehingga Ogos ini untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.- Malaysia Gazette