JASIN – Sepasang ibu bapa dan empat lagi ahli keluarga yang lain ditahan polis susulan seorang bayi lelaki berusia enam hari dibunuh di dalam perigi sedalam lebih enam meter di belakang kediaman mereka di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu yang memaklumkan kejadian itu berkata, mayat bayi yang masih berbalut kain lampin putih dan sempurna sifat itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi berkenaan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai (BBP) Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Katanya, bayi itu pada awalnya dilaporkan hilang jam 7.45 malam Sabtu lalu oleh bapa mangsa yang hadir ke Balai Polis Batang Melaka.
Berdasarkan laporan yang dibuat, kali terakhir bayi berkenaan dilaporkan dilihat sedang tidur di dalam bilik bersama ibunya pada jam 6.30 petang Sabtu lalu.
Jelas Arshad, siasatan lanjut dilakukan berikut wujud keraguan mengenai kesahihan kehilangan bayi itu.
“Pihak polis Jasin semalam 22 haribulan, sekitar 7 malam kita telah terima, satu laporan polis dari seorang lelaki yang mengatakan bayinya berusia enam hari telah hilang di kediamannya.
“Ekoran laporan kita terima, polis menjalankan siasatan terperinci memandangkan terdapat keraguan tentang kesahihan cara bayi ini hilang, maka siasatan berterusan.
“Peringkat itu kita klasifikasikan sebagai orang hilang tetapi selepas maklumat diperolehi tadi kita dapat maklumat penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Mengulas lanjut, sejurus menerima maklumat daripada jiran yang mengesyaki terdapat mayat bayi di dalam perigi di belakang rumah keluarga mangsa, polis termasuk pasukan forensik kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
Pihak polis menjumpai mayat bayi lelaki malang itu di dalam perigi yang masih digunakan dan disyaki ada kaitan dengan kes orang hilang yang dilaporkan di daerah itu pada 22 Julai lalu.
Jelasnya, berdasarkan laporan awal, kes tersebut diklasifikasikan sebagai orang hilang, bagaimanapun sususlan penemuan mayat bayi tersebut, keenam-enam suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat bayi malang tersebut kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.-MalaysiaGazette