Home Nasional Pendakwaan suspek pukul bodyguard kerana berpuasa di Mahkamah KL ditangguh

Pendakwaan suspek pukul bodyguard kerana berpuasa di Mahkamah KL ditangguh

Suspek utama dan pembantunya dibawa pegawai polis ke Mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes pukul dan mengacukan pistol ke arah dua pengawal peribadi kerana berpuasa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pendakwaan suspek utama yang memukul dan mengugut untuk membunuh dua pengawal peribadinya di Mahkamah Kuala Lumpur ditangguhkan petang ini.

Ini kerana urusan di Mahkamah Majistret Klang masih belum diselesaikan.

Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Faizal ketika dihubungi berkata, pasukannya masih berada di Klang untuk mengambil Chung Chee Yang.

Katanya, suspek utama sudah didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.

Namun urusan berkenaan masih belum diselesaikan bagi membolehkan tertuduh yang berusia 43 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk menghadapi empat lagi pertuduhan dalam kes tersebut.

“Pasukan Dang Wangi tak jadi untuk tuduh suspek utama (kes mencederakan dua pengawal peribadi) hari ini di Kuala Lumpur sebab urusan di Mahkamah Klang masih belum selesai,” kata beliau secara ringkas menerusi khidmat pesanan WhatsApp hari ini.

Pada pagi tadi, Mahkamah Majistret Klang menjadi tumpuan petugas media bagi membuat liputan berita mengenai kes Chee Yang dan pembantunya Choo Hin Voon, 43, yang didakwa mencederakan dua pengawal keselamatan di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.

Namun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan suspek utama iaitu tertuduh pertama kes diikat jamin wang RM50,000 untuk lima pertuduhan yang dihadapinya.

Manakala tertuduh kedua pula dibenarkan jaminan RM20,000. – MalaysiaGazette