LONDON – Para pemain dan kakitangan pasukan Schalke dibaling telur busuk oleh penyokong sendiri selepas tersingkir dari Bundesliga Jerman.
Schalke tersingkir dari Bundesliga Jerman buat kali pertama selepas 33 tahun beraksi dalam liga domestik itu.
Kelab berkenaan telah merekodkan kekalahan ke-21 dalam liga musim ini selepas tewas tipis 1-0 di Arminia Bielefeld pada Selasa.
Polis Gelsenkirchen berkata, para penyokong sudah mula menyalakan suar dan bunga api berhampiran dataran stadium selepas permainan tersebut.
“Selepas pasukan Schalke tiba dan turun dari bas penyokong mula bertindak ganas dan memprotes selepas pasukan mereka tersingkir dari liga utama itu.
“Penyokong tiba-tiba mula membaling telur ke arah para pemain dan kakitangan pasukan, selain dimaki hamun dengan kata-kata kesat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Schalke menegaskan, pihaknya telah menerima kritikan dan kemarahan peminat secara terbuka.
“Namun kelab tidak akan berdiam diri sekiranya fizikal pemain dan kakitangan dalamĀ bahaya,” katanya.
Schalke menamatkan saingan Bundesliga pada 2018 sebagai naib juara dan menjadi kelab yang paling banyak disokong di Jerman sehingga berjaya menarik 60,000 penonton untuk perlawanan di halaman sendiri.-MalaysiaGazette