KUALA LUMPUR – Taktik satu sindiket yang memperdaya orang awam dengan menyamar sebagai ejen menawarkan pekerjaan dengan menggunakan platform e-dagang akhirnya terbongkar.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Superintenden Mohd Mahidisham Ishak berkata, sindiket itu ditumpaskan polis dalam satu serbuan pada 14 April di ibu negara.
“Modus operandi sindiket itu adalah mangsa perlu membuat pembelian barang dalam talian selepas diterima bekerja.
“Mangsa yang membuat pembelian dalam talian e-dagang dijanjikan akan menerima semula bayaran untuk produk berserta komisen sebanyak lapan peratus bagi setiap transaksi pembelian,” katanya pada sidang media kejayaan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini petang tadi.
Tambah beliau, serbuan itu menyusul selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM11,194 kerana tertipu dengan modus operandi sindiket itu dalam talian.
Katanya, bertindak atas aduan mangsa dan risikan pasukannya, serbuan telah dibuat di premis itu.
“Hasilnya seramai lima lelaki dan empat wanita termasuk seorang wanita warga Thailand berjaya ditahan.
“Kesemua suspek adalah berusia 17 hingga 37 tahun dan sebanyak 57 buah telefon bimbit, empat buah komputer riba dan tujuh desktop dipercayai digunakan untuk penipuan itu berjaya dirampas.
“Sebanyak 67 kertas siasatan yang melibatkan modus operandi yang sama di seluruh negara, yang mana 27 daripadanya disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur,” ujarnya lagi.
Jumlah kerugian keseluruhan penipuan oleh sindiket itu adalah RM689,850.09, yang mana RM246,892.63 bagi kontinjen Kuala Lumpur.
Sindiket itu dipercayai hanya aktif sejak Mac lalu.
Mohd Mahidisham berkata, polisĀ sedang memburu dua lagi suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek yang ditahan telah direman dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan di laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan jangan terpedaya dan terjerat dengan tawaran pekerjaan yang memberikan gajiĀ tinggi oleh mana-mana pihak meragukan,” tegas beliau.- MalaysiaGazette