Home Ekonomi IMF semak pertumbuhan ekonomi Malaysia 4.8%

IMF semak pertumbuhan ekonomi Malaysia 4.8%

KUALA LUMPUR – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2017 kepada 4.8 peratus daripada 4.5 peratus yang diunjur menerusi Laporan Perundingan Tahunan pada Mei lepas.

Sambil menyuarakan rasa optimis IMF terhadap Malaysia, Kaunselor Ekonomi merangkap Pengarah Jabatan Penyelidikannya, Dr Maurice Obstfeld berkata semakan semula itu didorong oleh data positif ekonomi serta kestabilan dasar monetari negara ini.

“Kami telah menyemak naik unjuran pertumbuhan Malaysia untuk 2017 kerana menyaksikan kejayaan usaha negara ini bagi mengekalkan kemampanannya. Kami optimis terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Kemas Kini Unjuran Ekonomi Dunia IMF yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Selain itu, Obstfeld berkata IMF turut mengekalkan unjuran pertumbuhan global pada 3.5 peratus pada 2017 dan 3.6 peratus pada 2018 sejajar perubahan di peringkat negara-negara terbabit.

IMF menyemak turun unjuran pertumbuhan Amerika Syarikat (AS) kepada 2.1 peratus pada 2017 berbanding 2.3 peratus dan 2.1 peratus pada 2018 daripada 2.5 peratus susulan kelemahan pertumbuhannya pada suku pertama 2017.

“Dasar-dasar fisikal AS itu berkemungkinan kurang berkembang pada masa terdekat ini,” katanya.

Obstfeld berkata, impak tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah terhadap United Kingdom juga tidak jelas dan IMF menyemak turun unjuran terhadap pertumbuhan negara itu pada 2017 akibat aktiviti yang lebih lemah pada suku pertama.

Pertumbuhan China pula kekal pada 6.7 peratus bagi 2017 yang menyamai 2016, sekali gus memaparkan aspek pengeluaran lebih kukuh daripada jangkaan suku pertama tahun ini akibat kelonggaran dasar sebelum ini serta pembaharuan di peringkat penawarannya.

“Pihak berkuasa China mengenal pasti masalah kepesatan pertumbuhan kredit serta kelemahan pinjaman dan mengambil langkah bagi menangani isu terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Obstfeld berkata, pertumbuhan upah kekal lembap berikutan faktor ketegangan yang menyebabkan beberapa negara lebih mengutamakan dasar anti-global selain pelaksanaan peraturan kawal selia kewangan sejak krisis kewangan 2008 yang boleh menjejaskan kestabilan. – BERNAMA