Home Utama Tindakan guru periksa pelajar pakai tuala wanita mengejutkan – Rina

Tindakan guru periksa pelajar pakai tuala wanita mengejutkan – Rina

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 APRIL 2021

KUALA LUMPUR – Mengejutkan dan tidak boleh diterima akal fikiran.

Itu pandangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mengulas tindakan guru untuk memastikan pelajar tidak berpuasa kerana didatangi haid dengan memeriksa sama ada mereka memakai tuala wanita atau pun sebaliknya.

Menurut Rina, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku ketika beliau belajar di sekolah berasrama penuh dahulu.

“Sudah pasti, bila perkara begini berlaku, dalam keadaan waktu sekarang, zaman sekarang, ini merupakan satu perkara yang sangat mengejutkan. Tidak boleh diterima pada akal fikiran kita,” kata Rina.

Insiden tersebut tular di mesia sosial sejak semalam apabila pelajar perempuan di sebuah Maktab Rendah Sain MARA (MRSM) dikatakan ‘dicabul’ semasa guru-guru wanita membuat pemeriksaan sama ada mereka benar-benar datang haid semasa bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan telah berhubung dengan Pengerusi MARA ang telah pun mengeluarkan kenyataan akan melakukan siasatan lanjut.

Beliau juga menyifatkan tindakan guru tersebut  sebagai tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku di sekolah. 

Menurut Rina, pihaknya juga akan berhubung dengan kementerian-kementerian yang terlibat untuk memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Srikandi Muda ‘Leadership Empowerment’ di sini.

Semalam, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun menjelaskan pihalnya sudah menggerakkan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan tersebut.

Katanya, MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan membabitkan keselamatan pelajarnya, dan komited untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan bebas daripada sebarang ancaman.

Ini termasuk gangguan seksual dan eksploitasi wanita dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.