Home Nasional Saya tak akan padam karya, sedia diheret ke mahkamah – Fahmi

Saya tak akan padam karya, sedia diheret ke mahkamah – Fahmi

Kartunis dan Aktivis, Fahmi Reza, bergambar bersama rakan-rakannya ketika keluar dari IPD Dang Wangi selepas ditahan kerana didapati menghina Permaisuri Agong di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 24 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pereka grafik yang juga kartunis kontroversi, Fahmi Reza bertegas tidak akan memadamkan status playlist Sposify Dengki Ke? yang menggunakan gambar profil Raja Permaisuri Agong dalam Facebooknya.

Fahmi atau nama sebenar Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin akan terus mempertahankan karya satira politiknya walaupun berdepan dengan hukuman pihak berkuasa.

“Aku nak cakap di sini, aku takkan padamkan posting dan juga plylistspotify dengki ke.? Aku akan terus mempertahankan karya satira politik aku walaupun berdepan dengan hukuman.

“Jika penguasa ambil keputusan untuk heret aku ke mahkamah dalam isu ini, aku sudah bersedia, ayuh, aku akan terus mempertahankan hak dan kebebasan aku untuk mengkritik penguasa. satira bukan satu jenayah,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Fahmi yang direman selama sehari bagi membantu siasatan polis atas dakwaan menghina baginda Raja Permaisuri Agong meninggalkan ibu pejabat daerah itu sekitar 5.58 petang tadi.

Fahmi juga menjelaskan polis bersifat profesional dan tidak menunjukkan sebarang kekerasan sepanjang tempoh reman selama sehari itu.

Ditanya sebab beliau memuat naik posting berkenaan, Fahmi menjelaskan dia tidak akan menjawabnya  kerana ada kebarangkalian dia akan didakwa di mahkamah.

“Jadi semua kenyataan berkenaan karya itu aku akan menjawab di mahkamah..semua akan dijawab di mahkamah kalau masuk mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN:

“Sekarang masih berhadapan siasatan polis lagi. mereka kena siapkan siasatan kumpul bukti forensik dan hantar kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kalau mereka pilih untuk heret ke mahkamah dan dakwa aku bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 SKMM 1998, saya akan pertahankan karya aku.

“Mereka merampas barang milik saya iaitu sebuah laptop, dua telefon bimbit, modem dan sebuah router untuk membantu siasatan,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamad dalam kenyataan tengah malam tadi berkata, penahanan Fahmi dibuat berikutan laporan polis berhubung perbuatan  menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- MalaysiaGazette